Monday, November 26, 2007

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN - Bahagian 1

1.0 MUQADIMAH

Apakah yang dimaksudkan dengan kecemerlangan? Kecemerlangan adalah suatu yang abstrak yakni setiap orang akan memberi definisi yang berbeza-beza mengenainya. Ini termasuklah ada yang mengatakan bahawa kecemerlangan itu ialah apabila mereka mempunyai wang yang banyak, atau mempunyai rumah yang besar, atau memiliki kereta mewah, atau mempunyai kerja yang hebat, atau mempunyai kedudukan dan kuasa di kalangan masyarakat atau ada juga yang mengatakan mereka tidak memerlukan semua yang tersebut di atas tetapi bagi mereka kecemerlangan itu cukup apabila mereka memperolehi ketenangan ataupun kebahagiaan di dalam menghadapi kehidupan ini. Norman Lear berpandangan bahawa kecemerlangan itu ialah apabila beliau dapat menghabiskan setiap detik daripada kehidupan dalam keadaan yang menyeronokkan.

Secara umumnya bolehlah kita katakan bahawa kecemerlangan itu adalah sesuatu kejayaan yang dikecapi dari matlamat hidup yang telah digariskan. Ini termasuklah samada matlamat tersebut berupa matlamat jangkamasa pendek mahupun matlamat bagi jangkamasa yang panjang yang meliputi seluruh potensi yang ada pada seseorang insan iaitu mental, fizikal dan spiritual. Seorang pelajar, kecemerlangan itu mestilah kejayaan yang mereka perolehi di dalam setiap ujian ataupun peperiksaan yang dihadapi. Selain daripada kejayaan di dalam bidang akademik mereka juga merupakan pelajar yang mempunyai akhlak yang baik yakni sentiasa mengamal segala arahan dan meninggalkan sesuatu yang dilarang oleh agama.

Siapakah yang berhak untuk mendapat kecemerlangan? Kecemerlangan adalah milik semua orang. Ianya tidak mengira agama, bangsa dan keturunan. Sesiapa sahaja yang berusaha bersungguh-sungguh ke arahnya maka dengan izin Allah mereka akan memperolehinya. Menurut Sean tidak ada manusia yang telah berjaya di dunia ini sememangnya dilahirkan untuk menjadi orang yang berjaya. Tetapi kejayaan yang dikecapi oleh mereka adalah hasil kerja kuat serta perancangan dan tindakan yang berkesan. Di sana tidak ada batasan atau halangan fizikal untuk mencapai kejayaan. Kejayaan akan diperolehi oleh mereka yang sentiasa berfikir dan gigih untuk memperolehinya.

Tujuan buku ini ditulis adalah untuk memberi kesedaran kepada para pelajar bahawa kecemerlangan itu adalah milik semua orang dan merupakan suatu amanah yang perlu dipikul oleh setiap individu. Ianya tidak boleh hanya diserahkan kepada sebahagian orang sahaja manakala sebahagian lagi tidak memperdulikannya. Bahkan mereka ini melakukan perkara yang bertentangan yang boleh membantut ataupun menggagalkan usaha murni ini. Ini kerana kecemerlangan yang kita idamkan bukannya bersifat individu semata-mata tetapi ianya bersifat yang lebih menyeluruh melibatkan satu keluarga, satu sekolah, satu masyarakat, satu negara dan satu dunia. Oleh sebab itu jika semua orang mempunyai pemikiran yang sama iaitu untuk menjadi seorang yang cemerlang dan sentiasa menanamkan dalam jiwa mereka bahawa merekalah pencetus kepada kecemerlangan, maka insyaAllah usaha ini akan dipermudahkan oleh Allah swt

Aku pencetus kecemerlangan membawa maksud bahawa semua orang termasuk diri anda merasakan diri masing-masing merupakan elemen yang paling penting di dalam memastikan berlakunya kejayaan di semua keadaan. Tidak kiralah samada anda dalam keadaan bersendirian atau bersama keluarga atau di sekolah atau di tengah masyarakat ataupun di dalam sebuah negara. Andalah yang menjadi pencetus kepada kejayaan tersebut. Anda sentiasa berfikir bahawa jika anda tidak mencetuskannya maka kejayaan tidak akan terhasil. Andalah yang memiliki kunci bagi membuka pintu kecemerlangan.

Jika anda mahukan diri anda menjadi seorang yang cemerlang, maka andalah yang mesti memulakannya. Jika anda mahu melihat keluarga anda menjadi keluarga yang hebat, maka anda jugalah yang mesti menentukannya berlaku. Jika anda mengharapkan sekolah anda menjadi sebuah sekolah yang gemilang, maka ianya mestilah digerakkan daripada diri anda. Begitu juga jika anda hendak melahirkan sebuah negara yang terbilang, maka andalah yang mesti mencetuskannya. Ini bermakna anda tidak boleh menunggu ataupun mengharapkan orang lain menjadi cemerlang terlebih dahulu dan baru anda hendak mencemerlangkan diri anda. Jika orang lain telah cemerlang tetapi anda masih di takuk lama juga, tidak mahu berusaha menjadi seorang yang cemerlang, maka sudah pastilah diri anda, keluarga, sekolah, negara ataupun di mana-mana situasi anda berada, tidak akan mencapai kecemerlangan sebagaimana yang diidam-idamkan.

Begitulah betapa pentingnya diri anda yang menjadi elemen sebagai pencetus kepada kecemerlangan. Orang lain tidak dapat memaksa anda untuk berubah menjadi seorang yang cemerlang. Ibu dan bapa anda tidak boleh mengubah anda. Begitu juga guru-guru anda, saudara mara, rakan-rakan dan termasuklah buku ini tidak mampu untuk memaksa anda menjadi seorang yang cemerlang. Bahkan Allah swt sendiri tidak akan mengubah anda melainkan anda sendiri yang berusaha ke arah tersebut. Firman Allah swt yang bermaksud “Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia. [13.11]

Oleh yang demikian jika anda gagal maka tiada siapa yang harus dipersalahkan melainkan diri anda sendiri yang perlu bertanggungjawab di atas kegagalan tersebut. Anda tidak boleh mengatakan kegagalan ini disebabkan oleh ibu dan bapa, atau guru-guru ataupun pihak lain. Ini kerana anda tidak mempunyai kuasa untuk mengawal apatah lagi memaksa kesemua mereka yang anda senaraikan itu meryediakan unsur-unsur yang boleh membawa kecemerlangan kepada anda. Tetapi sedarlah bahawa anda hanya mempunyai kuasa untuk mengawal dan memaksa diri anda sendiri untuk melakukan sesuatu yang dapat meningkatkan kehebatan diri anda. Kesemua mereka di sekeliling anda hanya dapat membantu anda sahaja untuk menjadi seorang yang cemerlang.

No comments: