Monday, December 3, 2007

Aku Pencetus Kecemerlangan: Konsep Kecemerlangan - Bahagian 2

2.0 KONSEP KECEMERLANGAN

Konsep kecemerlangan menerangkan mengenai bentuk kecemerlangan yang hendak anda capai. Kejelasan mengenai konsep kecemerlangan dapat mengelakkan anda daripada mentafsirkan kecemerlangan daripada perspektif yang tidak tepat dengan keperluan seorang insan. Bahagian ini mendedahkan kepada anda mengenai konsep kecemerlangan bersepadu yang perlu anda fahami yang menitikberatkan seluruh potensi yang ada pada seseorang insan. Ianya termasuklah kecemerlangan mental, fizikal dan spiritual. Pada asasnya kecemerlangan ataupun kejayaan boleh dibahagikan kepada 4 jenis iaitu:

• Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat
• Berjaya di dunia tetapi gagal di akhirat
• Gagal di dunia tetapi berjaya di akhirat
• Gagal di dunia dan gagal di akhirat

2.1 Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat

Sebagaimana yang telah diperbincangkan, anda sahaja yang boleh menentukan jenis kecemerlangan yang ingin anda capai. Allah swt telah memberikan akal fikiran kepada anda dan kepada semua insan yang bertujuan untuk membolehkan anda membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Para nabi dan Rasul turut diutuskan oleh Allah swt bagi mengajar dan membantu manusia memilih jenis kejayaan yang perlu diusahakan.

Sudah pastilah semua para Rasul dan Nabi-Nabi termasuklah junjungan besar yang terakhir iaitu Nabi Muhammad saw diutuskan bertujuan untuk membimbing kita supaya berjaya kehidupan di dunia dan berjaya kehidupan di akhirat. Di dunia anda menjadi pelajar yang hebat yang seterusnya dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara, menjadi seorang anak yang soleh dan solehah serta sebagai hamba Allah anda mengabdikan diri dan beribadah hanya kepada Allah yang maha Esa dengan melaksanakan segala yang diperintah dan meninggalkan segala larangan.

Inilah konsep kecemerlangan yang mesti anda usahakan. Inilah yang dikatakan sebagai kecemerlangan yang hakiki ataupun kecemerlangan yang sebenar-benarnya. Ianya bersesuaian dengan seruan azan yang mana setiap kali ianya berkumandang maka setiap kali jugalah seruan kepada kecemerlangan ini akan dilaungkan."Haiya alall falah" maksudnya marilah menuju kepada kejayaan. Al-falah yang diseru adalah merupakan kejayaan yang hakiki yakni kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Di dunia anda menjadi manusia yang hebat dan di akhirat juga anda mendapat syurga daripada Allah swt, insyaAllah.

Allah swt di dalam surah Al Mukminun ayat 1-11 telah menyenaraikan tujuh sifat yang perlu dilakukan oleh orang yang beriman bagi memastikan mereka mencapai kejayaan yang hakiki iaitu (i) khusyuk dalam salatnya (ii) menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna (iii) menunaikan zakat (iv) menjaga kemaluannya (v) memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) (vi) menunaikan janjinya, dan (vii) memelihara sembahyangnya. Di akhir ayat ini Allah mengatakan mereka yang melakukan kesemua perkara di atas adalah golongan yang mencapai kecemerlangan dan mereka akan mewarisi syurga Firdaus di akhirat nanti serta mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

2.2 Berjaya di dunia tetapi gagal di akhirat

Tidak ada gunanya kalau anda hanya berjaya di dunia sahaja tetapi gagal kehidupan di akhirat. Anda mendapat kejayaan di dalam semua peperiksaan yang dihadapi. Anda menjawat jawatan yang diidam-idamkan. Anda memiliki kereta dan rumah yang besar, juga memiliki harta yang banyak. Anda disanjung dan dimuliakan oleh manusia disebabkan kehebatan anda. Tetapi pada masa yang sama anda melupai tanggung jawab anda sebagai khalifah Allah di muka bumi. Anda tidak menghiraukan firman Allah yang bermaksud "Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan hanya beribadah kepada Ku". Anda leka dengan kemewahan. Anda melakukan perkara yang dilarang dan meninggalkan segala perintah Allah swt. Perbuatan seperti inilah menyebabkan seseorang itu nampak hebat di dunia tetapi pada hakikatnya mereka dihina oleh Allah swt dan akan mendapat seksaan neraka di akhirat kelak. Nauzubillah hi min za lik. Firman Allah swt di dalam surah Muhammad yang bermadsud: “Yang demikian itu adalah karena sesungguhnya mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah dan (karena) mereka membenci (apa yang menimbulkan) keridaan-Nya; sebab itu Allah menghapus (pahala) amal-amal mereka. [47.28]

Sedarlah bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara sahaja manakala kehidupan di akhiratlah yang akan kekal abadi. Setiap amalan yang anda lakukan di dunia ini akan dihitung dan diberi balasan di akhirat kelak. Amalan yang baik akan dibalas dengan syurga manakala amalan yang buruk akan dibalas dengan neraka. Firman Allah swt yang bermaksud: Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya pula. [99.6]

2.3 Gagal di dunia tetapi berjaya di akhirat

Anda juga tidak boleh hanya menumpukan kepada urusan akhirat semata-mata dan pada masa yang sama melupakan kehidupan di dunia. Jika ini berlaku, siapakah yang akan menjadi doktor yang akan mengubati pesakit, siapakah yang akan menjadi jurutera yang memikirkan bagaimana untuk membina bangunan dan segala peralatan. Siapa pula yang akan menjadi peguam dan hakim yang akan mendakwa atau membela seseorang yang seterusnya menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada pesalah. Siapa yang akan menjadi guru atau ustaz yang dapat mengajar anda menjadi manusia berilmu. Begitu juga siapa yang akan menjadi juruterbang untuk membolehkan anda pergi dari satu tempat ke satu tempat yang jauh dalam masa yang singkat. Siapakah yang akan menjadi ahli politik untuk memimpin sesebuah negara menjadi aman dan makmur dan begitulah juga dengan bidang-bidang yang lain.

Oleh yang demikian adalah tidak wajar jika anda hanya duduk di tikar sembahyang sahaja tanpa menghiraukan urusan dunia. Rasulullah tidak menyukai orang yang sedemikian kerana kebaikan yang mereka perolehi hanya boleh digunakan untuk mereka sendiri sahaja dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Berbanding dengan orang yang beribadah dan pada masa yang sama mereka bertebaran di muka bumi memberi sumbangan dan menyebarkan ilmu yang mereka perolehi, mereka ini lebih disukai oleh Allah swt kerana kebaikan yang mereka lakukan bukan sahaja memberi munafaat kepada diri mereka sendiri sahaja tetapi turut dirasai oleh manusia lain. Firman Allah swt di dalam surah al-Jumu’ah yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Apabila telah ditunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung. [62.9-10]

2.4 Gagal di dunia dan gagal di akhirat

Konsep yang terakhir ialah golongan yang paling malang yang mana mereka gagal kahidupan di dunia dan gagal kehidupan di akhirat. Di dunia mereka hidup melarat, dihina dan pada masa yang sama mereka ini tidak mentaati Allah swt dengan melakukan perkara yang dilarang dan meninggalkan segala perintah Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud: “… barang siapa berbuat dosa dan ia telah diliputi oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”. [2.81]

Allah swt telah menganugerahkan akal fikiran kepada anda, bagi memilih jenis kecemerlangan yang anda hendak capai. Sebagai manusia yang normal, sudah tentulah anda inginkan kejayaan yang bersepadu yang meliputi kejayaan di dunia yang sementara dan juga mengecapi kejayaan yang abadi di akhirat nanti. Setiap bayi yang dilahirkan adalah ibarat sehelai kain putih yang bersih dan jauh daripada segala dosa dan noda. Jika Allah menghendaki bayi ini mati pada masa tersebut maka sudah pastilah ianya akan terus ke syurga. Itulah diri anda yang asal dan kemudiannya anda jugalah yang berperanan mencorak dan mewarnakan diri anda samada ingin terus kekal menjadi seperti sehelai kain putih ataupun mewarnainya menjadi sehelai kain yang lebih cantik yang boleh dijadikan hiasan ataupun anda tidak menghiraukan kain putih ini dan terus menconteng dan menconteng sehingga menyebabkan kain tersebut menjadi hodoh dan hanya layak untuk dijadikan kain buruk dan akhirnya dibuang ataupun hanya menjadi bahan bakar.

No comments: