Thursday, December 6, 2007

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN - Bahagian 3

Pra-syarat Kecemerlangan Di Dunia dan Akhirat

Untuk menjadikan anda sebagai seorang yang hebat dan cemerlang di dunia dan akhirat, anda perlulah melalui beberapa pra-syarat yang telah ditetapkan. Ini disebabkan kecemerlangan yang anda idamkan mestilah kecemerlangan yang syumul ataupun bersepadu yang tidak hanya menekankan hanya kepada satu-satu aspek kecemerlangan sahaja. Berikut adalah lima aspek penting yang perlu diberi penekanan sebagai pra-syarat kepada kecemerlangan yang hakiki:

• Cemerlang sebagai hamba Allah swt
• Cemerlang sebagai pengikut Nabi Mohammad saw
• Cemerlang sebagai seorang anak
• Cemerlang sebagai ahli masyarakat
• Cemerlang sebagai seorang pelajar


3.0 CEMERLANG SEBAGAI HAMBA ALLAH SWT

Sebagai pencetus kecemerlangan, perkara petama yang perlu anda lakukan ialah mencemerlangkan hubungan anda dengan Allah swt. Yang Maha Esa. Inilah tahap kecemerlangan yang paling tinggi kerana apabila hubungan dengan Allah telah cemerlang, insyaAllah ianya akan diikuti dengan kecemerlangan yang lain.

Bagaimana caranya untuk anda memperbaiki dan meningatkan hubungan dengan Allah swt? Berikut adalah beberapa panduan yang perlu anda tanamkan di dalam diri anda dan laksanakan di dalam kehidupan seharian.

Akui keesaan Allah
Lihat kebesaran Allah
Lembutkan hati, lidah dan amalan
Ancaman dan ganjaran
Hisab Diri

3.1 Akui Keesaan Allah

“Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah. Katakanlah: "Apakah kamu memperdebatkan dengan kami tentang Allah, padahal Dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu; bagi kami amalan kami, bagi kamu amalan kamu dan hanya kepada-Nya kami mengikhlaskan hati,” [2.138-139]


Kecemerlangan yang paling utama ialah apabila seseorang itu dapat mengakui akan keesaan Allah swt. Mengakui keesaan Allah bermaksud bahawa anda hanya mengakui bahawa tiada tuhan melainkan Allah swt. Keyakinan ini mestilah bermula daripada hati yang mana hati anda tidak berbelah bahagi mengatakan bahawa Allah itu adalah Esa. Keyakinan ini diikuti oleh mulut anda yang melafazkan tiada tuhan melainkan Allah. Setelah itu ianya mestilah disusuli pula dengan perlakuan atau tindakan yang mana anda hanya malakukan sesuatu perkara hanya kerana Allah swt. Allah berfirman: "Janganlah kamu menyembah dua tuhan; sesungguhnya Dia-lah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kepada-Ku saja kamu takut".Dan kepunyaan-Nya-lah segala apa yang ada di langit dan di bumi, dan untuk-Nya-lah ketaatan itu selama-lamanya. Maka mengapa kamu bertakwa kepada selain Allah? Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudaratan, maka hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan. [16.51-53]

Allah swt juga berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: "Bahwasanya Allah salah satu dari yang tiga", padahal sekali-kali tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih. Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. [5.73-74]

Keyakinan terhadap keesaan Allah ini juga mencakupi bahawa Allah yang Esa ini jugalah yang telah menjadikan seluruh alam ini. Ini termasuklah daripada yang sekecil-kecil zarah, penciptaan manusia, haiwan, tumbuhan sehinggalah kepada yang sebesar-besarnya seperti gunung-ganang, matahari, bulan, bintang, lautan dan seluruh planet. Allahlah yang memberi dan menyembuhkan sakit, menghidup dan mematikan sesuatu. Allahlah yang menurunkan hujan, menjadikan panas serta menjadikan pelbagai malapetaka seperti banjir, ombak besar, gempa bumi, kemarau, angin kencang dan sebagainya. Firman Allah swt yang bermaksud “Katakanlah: "Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala tanda dan bukti(yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), Tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan Rasul-Rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman".[10.101]

Jika anda telah mengakui serta meyakini bahawa Allah adalah tuhan yang Maha Esa dan Allah yang Esa ini jualah yang telah menciptakan seluruh alam ini maka dengan itu sewajarnyalah anda hanya menyembah Allah di dalam semua keadaan atau aktiviti yang anda lakukan. Ini termasuklah samada semasa melakukan ibadah khusus ataupun ibadah umum. Ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat, dan mengerjakan haji manakala ibadah umum termasuklah belajar, bermain, berbincang, menonton, bersiar-siar dan sebagainya.

Kesemua aktiviti yang dilakukkan ini mestilah hanya kerana Allah swt semata-mata. Firman Allah swt yang bermaksud “Hai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa. Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui. [2.21-22]

No comments: