Wednesday, December 12, 2007

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN - Bahagian 5

3.4 Ancaman dan ganjaran

Ancaman yang dimaksudkan ialah azab yang disediakan oleh Allah swt kepada mereka yang masih lagi membutakan mata mereka daripada melihat kebesaran Allat swt, membisukan mulut mereka daripada menyebut, berzikir dan memuji Allah swt, mamekakkan telinga mereka daripada mendengar ayat-ayat Allah swt, menutup pintu hati mereka daripada cahaya kebenaran, mengunci kaki mereka daripada pergi ke rumah Allah serta mengikat tangan mereka daripada melakukan kerja-kerja kebajikan. Mampukah anda untuk berhadapan dengan azab Allah di akhirat kelak. Azab Allah adalah daripada api yang sangat panas yang mana bahan bakarnya terdiri daripada batu dan manusia itu sendiri. (al-baqarah). Mereka yang dimasukkan ke dalamnya akan kekal buat selama-lamanya di situ.

Alangkan api yang dikeluarkan daripada mancispun kita tidak mampu untuk memegangnya, inikan pula api yang dikatakan jika hanya kita ambil satu juzuk daripadanya kemudian ianya dibasuh dan dibasuh sehingga beribu-ribu kali dan kemudian dicampakkan ke bumi maka akan hancur bumi ini disebabkan terlalu panasnya api daripada neraka itu. Oleh yang demikian perlulah kita merasa takut terhadap ancaman daripada Allah swt bagi mereka yang tidak mahu mengikuti jalan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Mohammad saw.

Allah swt juga telah menjanjikan syurga kepada mereka yang taat kepadaNya. Syurga adalah satu tempat yang sangat indah dan seronok yang tidak ada bandingnya dengan keindahan dan keseronokkan yang terdapat di dunia ini. Allah telah menggambarkan keadaan syurga ini di dalam surah Muhammad yang bermaksud: “(Apakah) perumpamaan (penghuni) surga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tiada berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar (arak) yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Tuhan mereka, sama dengan orang yang kekal dalam neraka dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong-motong ususnya”? [47.15].

3.5 Hisab Diri

Akhir sekali di dalam usaha untuk menjadikan diri anda sebagai hamba Allah yang cemerlang, maka anda mestilah sentiasa menghisab diri ataupun bermuhasabah yakni menilai kembali terhadap segala apa yang telah anda lakukan di sepanjang kehidupan ini. Setiap hari tanyalah pada diri anda sendiri mengenai amalan yang telah dilakukan pada hari tersebut termasuklah solat, berzikir, membaca al-quran, membantu ibu-bapa, mendengar nasihat ibu-bapa, membaca buku, membuat kerja sekolah, mengulangkaji pelajaran dan sebagainya. Perbaikilah di atas segala kelemahan yang ada dan kekalkan atau pertingkatkan segala kebaikan yang telah anda lakukan.

Bayangkan pada suatu masa di dalam kehidupan anda yang mana anda merasakan itulah tahap kebaikan yang paling tinggi yang pernah anda lakukan, maka cuba ulanginya dan kekalkan amalan itu selamanya sehingga anda berjumpa dengan Allah swt yang maha esa. Jika anda tidak berjumpa suatu kebaikanpun dalam diari kehidupan anda, maka bermula daripada sekarang mulakan satu perubahan dengan melakukan sesuatu perkara yang dapat memasukkan anda ke dalam syurga Allah swt di akhirat kelak dan setelah itu beristiqamahlah dengan amalan tersebut. Suatu hari seorang sahabat datang berjumpa Nabi Mohammad saw lalu berkata, ya Rasulullah beri nasihatlah kepadaku. Kemudian Rasulullah berkata berimanlah kepada Allah dan kemudian kamu beristiqamahlah dengannya. Allah swt berfirman yang bermaksud: “Allah berfirman: "Sesungguhnya telah diperkenankan permohonan kamu berdua, sebab itu tetaplah kamu berdua pada jalan yang lurus dan janganlah sekali-kali kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui". [10.89]

Berdoalah kepada Allah swt agar sentiasa memberi kekuatan kepada anda untuk melakukan amalan yang soleh. Mohonkan juga daripadanya agar mengampuni segala kesalahan yang telah dilakukan samada secara disedari ataupun tanpa disedari. Firman Allah yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru kepada iman (yaitu): "Berimanlah kamu kepada Tuhan-mu", maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami, dan wafatkanlah kami beserta orang-orang yang berbakti. [3.193]

No comments: