Monday, May 5, 2008

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH:AKU PENCETUS KECEMERLANGAN (BAHAGIAN 13)

4.3.3 Qiamullail

• Qiamullail merupakan ibadah yang dilakukan di waktu tengah malam yang mana pada masa tersebut orang lain sedang enak dibuai mimpi tetapi anda bangun dari tidur untuk beribadah kepada Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud: “bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya)”, [73.2]. Di dalan surah [25.64] Allah mengatakan “Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka”.
• Memanglah ianya suatu amalan yang amat berat untuk dilakukan, tetapi percayalah bahawa qiamullail inilah merupakan salah satu senjata yang amat berbisa untuk menjadi insan yang cemerlang. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu: mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji”. [17.79]
• Rasulullah saw tidak pernah meninggalkan sembahyang malam. Pada waktu inilah baginda bersujud, bertasbih dan memohon keampunan kepada Allah swt. Jika Rasulullah saw. seorang yang bebas daripada melakukan dosa sanggup bangun di waktu malam untuk memohon keampunan, apa lagi kita seagai insan biasa yang tidak dapat lari daripada melakukan dosa. Allah swt telah menjanjikan akan menghapuskan dosa-dosa dan perbuatan buruk yang kita lakukan dengan kita melakukan qiyammullail. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat”. [11.114]

No comments: