Monday, June 23, 2008

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN (BAHAGIAN 14)

4.3.4 Berzikir

• Berzikir ialah aktiviti kita mengingati Allah swt dengan menggunakan hati, ucapan dan perbuatan. Allah mengatakan jika kita sentiasa mengingatiNya maka Allah juga akan mengingati kita. FirmanNya yang bermaksud: “Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku”. [2.152]

• Pada hari ini anda mungkin lebih banyak terkenang kepada manusia yang menjadi idola anda termasuklah penyanyi, pelakon, pemimpin, ahli sukan atau sebagainya. Bukannya tidak boleh anda mengingati mereka tetapi anda mestilah menyoal diri anda yakni adakah dengan mengagong-agongkan manusia ini dapat memberikan kebaikan di akhirat kelak. Allah swt mengarahkan mereka yang beriman supaya memperbanyakkan mengingati Allah swt kerana hanya Allah swt lah yang dapat memberikan kebaikan di dunia dan akhirat. FirmanNya yang bermaksud: “Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah (dengan menyebut) Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. [2.200]

• Berzikir kepada Allah hendaklah dilakukan pada setiap masa tidak kira samada anda dalam kesenangan ataupun di dalam kesusahan. Janganlah apabila dalam kesenangan anda melupai Allah swt tetapi apabila di dalam keadaan kesusahan dan terdesak barulah anda teringat kepada Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung”. [8.45]. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan setiap selesai sembahyang”. [50.40]

• Berzikirlah dengan khusuk, merendah diri dan penuh penghayatan seperti firman Allah swt yang bermaksud: “Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai”. [7.205]

• Allah swt mengatakan bahawa salah satu ciri orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah maka akan gementarlah hati mereka dan ini akan mendorongkan mereka supaya sentiasa membuat kebaikan dan meninggalkan perkara yang dilarang. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhan-lah mereka bertawakal, [8.2]

• Jauhilah diri anda daripada sifat orang yang munafik yakni mereka yang memperolok-olokkan keimanan mereka. Mereka membuat kebaikan kerana ingin dipuji dan tidak ikhlas kerana Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk salat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali”. [4.142]

No comments: