Sunday, November 1, 2009

Keesaan Allah SWT

Salam
Tanggungjawab utama para rasul semenjak nabi Adam hinggalah kepada junjungan besar kita nabi Muhammad SAW ialah mengajak manusia supaya mengakui akan keesaan Allah swt. Kepercayaan terhadap keesaaan Allah ini membawa erti yang sangat besar yang menyebabkan para nabi dan para rasul ini telah ditentang dengan hebatnya oleh kaum mereka. Masyarakat zaman tersebut faham bahawa apabila mereka menerima konsep keesaan Allah, maka seluruh tindak tanduk mereka selepas ini termasuklah ibadat dan kehidupan seharian mereka mestilah hanya diserahkan kepada Allah SWT semata-mata. Ini bermakna jika dulu mereka boleh menyembah patung-patung di dalam ibadat mereka, maka apabila mereka menerima konsep keesaaan Allah maka mereka terpaksa meninggalkan segala sembahan tersebut.

Bukan itu sahaja, mereka juga yakin jika menerima apa yang diajar oleh para nabi maka seluruh sistem jual beli dan system pemerintahan juga mestilah mengikut sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kalau dulu mereka boleh menindas, menzalimi dan memperlakukan apa sahaja mengikut selera mereka ke atas rakyat dan pengikut mereka, tetapi jika mereka menerima seruan yang dibawa oleh para Nabi dan para Rasul ini, maka kesemua mereka samada pemerintah ataupun rakyat hanya boleh tunduk kepada kebesaran Allah SWT sahaja. Kesemua manusia disisi Allah SWT adalah sama dan yang membezakan mereka adalah ketaqwaannya sahaja

Itulah kefahaman yang ada pada mereka yang menyebabakan mereka sanggup memfitnah dan memerangi para Nabi dan para Rasul supaya ajaran tersebut tidak dapat berkembang dan diterima oleh kaum mereka.

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana kita secara automatik telah dilahir dan dibesarkan daripada keluarga yang telah meyakini akan keesaan Allah SWT. Persoalanan yang perlu kita fikirkan ialah adakah pemahaman kita terhadap konsep keesaan Allah SWT ini sama dengan pemahaman ummat yang terdahulu ataupun sebaliknya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah. Katakanlah: "Apakah kamu memperdebatkan dengan kami tentang Allah, padahal Dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu; bagi kami amalan kami, bagi kamu amalan kamu dan hanya kepada-Nya kami mengikhlaskan hati,” [2.138-139]

Marilah sama-sama kita mengusahakan supaya keyakinan kita kepada Allah SWT bukan sahaja pada bab penciptaan alam ini sahaja, tetapi keyakinan tersebut perlu diperluaskan ke seluruh kehidupan kita. Jika kita telah mengakui serta meyakini bahawa Allah adalah tuhan yang Maha Esa dan Allah yang Esa ini jualah yang telah menciptakan seluruh alam ini maka dengan itu sewajarnyalah kita hanya menyembah Allah di dalam semua keadaan atau aktiviti yang kita lakukan.

Firman Allah swt yang bermaksud “Hai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa. Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui. [2.21-22]

Wassalam

No comments: