Saturday, November 21, 2009

Mengapa Aku Kurang Berjaya

Salam
Tahniah diucapkan kepada pelajar yang telah berjaya di dalam peperiksaan UPSR yang lepas. Semoga anda akan terus berusaha sehingga menjadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Kepada yang kurang berjaya, anda mestilah menjadikan keputusan ini sebagai iktibar/pengajaran kepada diri anda sendiri. Anda masih mempunyai masa yang panjang untuk memperbaiki diri, dan sebelum anda terus bersedih dengan keputusan yang diperolehi, saya ingin memberikan beberapa nasihat supaya anda bangkit untuk mencari kunci kejayaan.

Pertamanya tanyalah pada diri anda, "kenapa aku tidak mendapat keputusan yang baik seperti yang diperolehi oleh rakan-rakan aku yang lain". Pada hal aku juga dilahirkan daripada ibu bapa yang berjaya, abang atau kakak aku dulupun pernah mendapat 5A dalam peperiksaan yang sama, jiran akupun mendapat keputusan yang cemerlang bahkan kawan-kawan sekelas dan kawan-kawan sepermainan akupun ramai juga yang mendapat 5A.

Ini bermakna faktor persekitaran adalah amat kecil untuk dijadikan alasan mengapa anda kurang berjaya. Faktor yang paling besar adalah faktor diri anda sendiri. Diri anda sendirilah yang menentukan samada anda boleh berjaya ataupun gagal di dalam peperiksaan yang dihadapi. Anda sendiri sahaja yang tahu sejauh mana anda telah berusaha untuk mencapai kejayaan. Jika anda telah berusaha dengan gigih, tetapi kejayaan masih tidak memihak kepada anda, sudah tentu anda tidak akan tangisi kegagalan itu kerana anda yakin bahawa ianya bukan pilihan anda sebaliknya telah ditetapkan oleh Allah SWT sedemikian rupa.

Tetapi jika sebaliknya, yang mana anda tidak menunujukkan kesungguhan untuk belajar, anda lebih tumpukan kepada permainan berbanding pelajaran, anda banyak membuang masa dan sebagainya maka, adakah wajar anda menantikan keputusan yang cemerlang di dalam peperiksan yang dihadapi? Kata orang tua-tua, kajayaan tak datang bergolek tanpa usaha yang gigih dari diri anda sendiri.

Ayuh, lihat pada diri sendiri dan perbaiki mana-mana kelemahan yang ada. Tanamkan dalam diri anda, bahawa anda juga mampu untuk mencapai kejayaan. Kejayaan bukan sahaja milik ibu bapa anda, atau abang dan kakak anda, atau guru-guru anda, atau kawan-kawan anda, tetapi kejayaan juga adalah milik anda. Tidak ada sesiapapun yang boleh menghalang anda untuk mengecapi kejayaan. Sedarlah bahawa orang yang gagal ialah mereka yang hanya bersedih dan tidak mahu bangkit setelah jatuh, tetapi mereka yang jatuh kemudian bangkit memburu kejayaan, maka mereka inilah orang yang berjaya InsyaAllah.

No comments: