Wednesday, February 24, 2010

Rasulullah Adalah Insan Termulia

Kita mestilah berbangga menjadi umat kepada Nabi Mohammad saw kerana Baginda insan yang paling mulia dalam sejarah kehidupan manusia.

Tidak ada insan lain yang dapat menandingi kemuliaan baginda daripada zaman dahulu sehinggalah ke hari akhirat.

Disebabkan kehebatan dan kemuliaan bagindalah menyebabkan Allah swt telah melantik baginda menjadi utusannya iaitu Rasulullah di muka bumi ini.

Perlantikan Baginda sebagai Rasul bukanlah secara kebetulan sebagaimana yang difahami oleh sesetengah pihak. Samada kebetulan pada masa tersebut tak ada orang lain yang layak jadi rasul ataupun kebetulan pada zaman tersebut manusia hidup dalam keadaan jahiliyah.

Allah swt adalah Tuhan yang Maha Mengetahui samada yang tersembunyi ataupun yang nyata, samada yang sudah berlaku atau yang sedang berlaku ataupun yang belum belaku. Oleh yang demikian Allah swt sememangnya telah mengetahui sejak azali lagi yang mana tidak akan wujud manusia yang sehebat dan semulia Nabi Mohammad saw bermula daripada zaman Nabi Adam sehinggalah pada bila-bila masapun.

Disebabkan kemuliaan tersebutlah maka Allah swt telah memilih Nabi Mohammad saw sebagai utusan terakhir untuk menyelamatkan keseluruhan ummat manusia dan jin daripada jalan kesesatan.

Allah swt juga telah menurunkan al-quran kepada junjungan besar kita Nabi Mohammad saw. Kitab al-quran dan sunnah Bagindalah yang telah ditinggalkan kepada kita yang menjadi panduan untuk meneruskan kehidupan di muka bumi.

Firman Allah swt yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Qur'an) dan Al-Hikmah (As-Sunah) serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. [2.129]

Kecintaan kita kepada Nabi Mohammad saw, mestilah berasaskan kepada kecintaan yang sejati. Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: "Tidak sempurna iman kamu, sebelum ia lebih mencintai aku daripada mencintai ibu-bapanya, anaknya dan manusia umumnya".

Beriman dengan Rasulullah saw dan risalah yang telah dibawa oleh baginda merupakan satu tiket kepada kita untuk masuk ke dalam syurga Allah swt. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Demi Allah, yang jiwa Mohammad berada di tangannya, setiap orang yang telah mendengar Risalahku, baik ia Yahudi atau Nasrani, kemudian dia mati tanpa iman dengan Risalahku itu maka dia pasti masuk neraka".

No comments: