Tuesday, April 29, 2008

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN (BAHAGIAN 12)


4.3.2 Membaca, menghayati dan mengamalkan ajaran al-quran
• Sesungguhnya al-quran datangnya daripada Allah swt dan ianya bukanlah ciptaan manusia. Al-quran telah diturunkan kepada nabi Mohammad saw yang mana ianya menjadi petunjuk dan rahmat kepada mereka yang beriman. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan sebuah Kitab (Al Qur'an) kepada mereka yang Kami telah menjelaskannya atas dasar pengetahuan Kami; menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”. [7.52]
• Firman Allah swt yang bermaksud: “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Qur'an) dan dirikanlah salat. Sesungguhnya salat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (salat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”[29.45]
• Membaca al-quran merupakan satu amalan yang amat dituntut di dalam ajaran agama Islam. Rasulullah saw tidak meninggalkan kepada kita dengan harta ataupun pelbagai kemewahan tetapi sebaliknya Baginda saw bersabda yang bermaksud:"Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara iaitu al-quran dan as-sunnah dan jika kamu berpegang dengan keduanya maka kamu akan selamat". Membaca, menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-quran merupakan salah satu sifat orang-orang yang akan mendapat kecemerlangan di dunia dan akhirat. Di akhirat nanti mereka ini akan mendapat darjat kebesaran dari sisi Allah swt dan juga Allah akan mengampunkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Manakala di dunia pula orang-orang yang membaca al-quran akan memperolehi rezeki yang mulia daripada Allah swt. Inilah janji yang diberikan oleh Allah swt seperti dalam firmanNya yang bermaksud:" Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (karenanya) dan kepada Tuhan-lah mereka bertawakal, (yaitu) orang-orang yang mendirikan salat dan yang menafkahkan sebagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia. [8.2-4]

Monday, April 21, 2008

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN (BAHAGIAN 11)

4.3 Sunnah Rasul


Raulullahh SAW pernah bersabda bahawa barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, bukanlah mereka termasuk di dalam golonganku (Bukhari). Baginda SAW juga di dalam khutbahnya yang terakhir pernah berpesan bahawa diantaranya ialah “Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara, selama-lamanya kalian tidak akan tersesat jika berpegang teguh kepada keduanya, iaitu al-quran dan sunnahku. Sunnah Rasul adalah segala perbuatan, tingkah laku, percakapan, pemikiran ataupun kegiatan yang telah dilakukan oleh Baginda saw. Secara ringkasnya sunnah rasul ini boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu (i) Sunnah yang wajib yakni mesti diikuti dan sesiapa yang melakukannya akan mendapat pahala manakala mereka yang meninggalkannya dikira berdosa. Contohnya ialah pengabdian diri hanya kepada Allah swt. (ii) Sunnah yang sunat yakni sunnah yang apabila kita melakukannya akan mendapat pahala manakala jika kita meninggalkannya tidaklah dikira berdosa. Contohnya Rasulullah saw makan menggunakan jari, berkahwin serta berniaga untuk mencari rezki dan (iii) Sunnah yang haram untuk kita ikuti dan jika kita lakukan juga maka ia dikira sebagai dosa. Contohnya ialah Rasulullah berkahwin dengan lebih daripada empat orang perempuan pada satu-satu masa. Kelebihan ini hanyalah keistimewaan yang diberikan kepada Baginda saw sahaja dan tidak boleh diikuti oleh manusia biasa.
Sebagai pengikut, kita mestilah berusaha untuk mengikuti contoh-contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Rasulullah saw telah meningggalkan banyak contoh tauladan di dalam semua bidang kehidupan termasuklah bidang ketauhidan, sosial, ekonomi, politik, akhlak, keibubapaan dan sebagainya supaya menjadi ikutan kepada ummatnya. Berikut adalah beberapa contoh sunnah Rasul yang perlu kita ikuti:

4.3.1 Solat berjamaah
• Allah swt telah menyatakan bahawa salah satu sifat orang-orang yang beriman kepada Allah swt dah Hari Akhirat ialah mereka sentiasa memakmurkan masjid samada dengan cara mendirikan solat secara berjamaah ataupun mengadakan aktiviti keilmuwan yang dapat meningkatkan pembangunan ummah. Firman Allah swt yang bermaksud:"Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) selain Allan, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk di dalam golongan orang-orang yang mendapat petunjuk". (Al-Taubah:18) Solat berjamaah merupakan satu amalan Rasulullah saw. Semasa hidupnya, baginda amat menitikberatkan solat secara berjamaah sehingga pada satu ketika di mana tidak ramai yang bersolat jamaah maka baginda berasa amat marah sehingga mengatakan "Inginlah aku rasanya menyuruh seseorang mengimami solat berjamaah, kemudian aku pergi mencari orang-orang yang tidak datang berjamaah, sesudah itu ku suruh bakar rumah-rumah mereka dengan ikatan kayu-kayu bakar. Kalaulah mereka tahu betapa besarnya pahala yang akan mereka perolehi, niscaya mereka akan mendatanginya".

Tuesday, April 15, 2008

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN (BAHAGIAN 10)

4.2.4 Adab makan dan minum
• Makan dan minum adalah sesuatu yang diharuskan dan Allah swt memerintahkan manusia memakan makanan yang baik yang boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan Kami naungi kamu dengan awan, dan Kami turunkan kepadamu "manna" dan "salwa". Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. [2.57]
• Mulakan dengan membaca bismillah dan doa
• Makanlah dengan menggunakan tangan kanan
• Jika makanan yang dimakan tidak sesuai dengan selera anda, janganlah sekali-kali anda mencela makanan atau mencela penyedia makananan
• Bantulah insan yang berada di dalam kesusahan dengan memberikan mereka makanan.
• Janganlah sekali-kali memakan makanan yang telah diharamkan seperti firman Allah swt yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. [2.173]
• Janganlah membazir dengan mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak tetapi tidak menghabiskannya yang akhirnya terbuang begitu sahaja. Membazir adalah saudara syaitan.
• Jika anda dapati masih terdapat ahli keluarga ataupun rakan-rakan yang masih belum makan, pastikan anda tidak menghabiskan makanan tersebut. Jika makanan yang ada tidak banyak, maka pastikan kesemua orang dapat merasakannya sedikit seorang. Jangan ada perasaan tamak dengan menghabiskan makanan tersebut tanpa meninggalkannya kepada mereka yang masih belum makan.

Monday, April 7, 2008

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN (BAHAGIAN 9)

4.2.3 Adab menuntut ilmu

• Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah, niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu, maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. [58.11]
• Sabda Rasulullah saw yang bermaksud "Menuntut ilmu adalah satu fardhu (kewajipan) bagi setiap muslim''.
• Sampai awal ke kelas pada masa yang telah ditetapkan.
• Semasa guru sedang mengajar, anda mestilah memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang disampaikan oleh guru tersebut. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dia berkata: "Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apa pun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu".[18.70]
• Mengulangkaji mata pelajaran yang telah dipelajari
• Menyiapkan kerja rumah yang telah diberikan oleh guru
• Membuat persediaan sesuatu tajuk terlebih dahulu sebelum memasuki kelas
• Minta izin daripada guru untuk keluar dari kelas
• Jangan ponteng ataupun tidak masuk ke kelas semasa guru sedang mengajar
• Tidak membuat bising semasa guru sedang mengajar ataupun semasa ketiadaan guru
• Tidak menganggu pelajar lain dan sentiasa memberi kelapangan kepada rakan. Firma Allah swt yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah, niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu, maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. [58.11]

Tuesday, April 1, 2008

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN (BAHAGIAN 8)

4.2.2 Adab berpakaian

• Pakaian yang dipakai mestilah menutup aurat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh agama. Aurat seorang lelaki ialah di antara pusat dan lutut manakala aurat seorang perempuan adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Firman Allah swt yang bermaksud “Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertobatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung”. [24.31]
• Malu adalah salah satu cabang iman. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu daripada cabang iman". Oleh yang demikian tanamlah sifat malu ini ke dalam diri anda. Dengan adanya sifat malu ini dapat menjauhkan diri anda daripada melakukan sesuatu perkara yang tidak senonoh termasuklah cara berpakaian yang mana anda malu untuk mendedahkan tubuh badan anda di khalayak ramai.
• Seorang lelaki tidak memakai pakaian yang menyerupai perempuan begitu juga perempuan tidak memakai pakaian yang menyerupai lelaki.
• Setiap pakaian yang anda pakai bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain sehingga anda merasa sombong dan riya' (bangga diri) dengan pakaian tersebut. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Tidak dapat masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat rasa sombong walaupun hanya seberat debu. Seorang lelaki bertanya, bagaimana kalau seorang suka memakai baju dan sepatu bagus? Jawab Rasulullah saw, Allah itu indah (jamil). Dia menyukai yang indah. Sedangkan sombong itu menolak kebenaran dan menganggap remeh orang lain".
• Seseorang lelaki ataupun perempuan janganlah mengambil kesempatan untuk melihat aurat orang lain sebalikya mestilah menjaga pandangan sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat".[24.30]
• Bersyukurlah dengan pakaian yang anda pakai dan yang penting bukanlah jenama pakaian tersebut tetapi adalah kebersihan dan peluang untuk menutup aurat. Firman Allah swt yang bermaksud “dan pakaianmu bersihkanlah,” [74.4]

Wednesday, January 30, 2008

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN (Bahagian 7)

4.2 Akhlak

Saidatina Aishah apabila ditanya bagaimanakah akhlak Nabi, maka beliau akan mengatakan bahawa Nabi adalah seperti al-quran yang bergerak. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (Mohammad) berada di atas akhlak yang tinggi" (Al-Qalam:4). Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak". Oleh yang demikian sebagai tanda anda mencintai Rasulullah saw dan berhasrat menjadi pengikut yang cemerlang maka sewajarnyalah anda mencontohi akhlak yang telah ditunjuk oleh Baginda di dalam kehidupan seharian anda. Berikut adalah beberapa contoh adab yang boleh menjadi pedoman kepada anda

4.2.1 Adab bercakap/berkomunikasi

• Berfikirlah dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata samada apa yang akan dikeluarkan adalah sesuatu yang benar ataupun sebaliknya.
• Bercakaplah dengan lemah lembut atau sopan menggunakan nada yang bersesuaian mengikut bilangan pendengar yang ada. Janganlah anda terjerit-jerit semasa berbicara.
• Bahasa yang anda gunakan semasa perbualan mestilah daripada bahasa yang baik dan mudah difahami
• Jika orang lain sedang bercakap atau memberi pandangan, elakkan daripada memotong cakap mereka yang sedang memberi pandangan. Beri peluang kepada mereka menghabiskan percakapan mereka dahulu barulah anda memberi pandangan anda pula.
• Berbuallah mengenai perkara yang boleh memberi munafaat kepada pembangunan diri anda dan jangan mencerca ataupun menceritakan keburukan orang lain di dalam perbualan.
• Membuat fitnah adalah merupakan salah satu daripada dosa besar yakni lebih besar dosanya daripada membunuh. Oleh itu jangan sekali membuat fitnah.
• Beri tumpuan atau pandanglah kepada mereka yang sedang bercakap dan jangan palingkan muka anda ke tempat lain.
• Jadilah pendengar yang baik yakni mendengar segala luahan terutamanya jika ada di antara mereka yang sedang mengalami masalah dan ingin berkongsi masalah tersebut dengan anda. Ini dapat membantu mengurangkan masalah yang mereka hadapi.
• Maafkanlah kesalahan yang telah dilakukan oleh orang lain kepada anda. Rasulullah saw adalah seorang yang pemaaf. Baginda tidak berdendam walaupun mempunyai kesempatan untuk membalasnya.

Thursday, December 13, 2007

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN - Bahagian 6

4.0 CEMERLANG SEBAGAI PENGIKUT NABI MOHAMMAD SAW

Firman Allah swt yang bermaksud: “Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. [33.40]

Anda sebagai pencetus kecemerlangan juga memainkan peranan yang sangat penting di dalam usaha memastikan ummat Nabi Mohammad saw menjadi satu ummat yang cemerlang yang dihormati oleh semua pihak. Jika anda gagal menunjukkan contoh yang baik maka ini sudah pastilah akan memberikan imej yang buruk kepada keseluruhan ummat Nabi Mohammad saw terutamanya di mata penganut agama yang lain. Ini menyebabkan mereka akan menjauhkan diri daripada agama yang diredhai oleh Allah swt. Rasulullah saw ada kalanya tidak perlu mengeluarkan kata-kata sebaliknya hanya dengan tingkah laku Baginda telah dapat menarik masyarakat pada masa tersebut untuk beriman kepada Allah swt. Berikut adalah beberapa kefahaman dan amalan yang perlu ada pada diri anda sebagai tanda cinta kepada Rasulullah saw:

Rasulullah insan termulia
Akhlak
Sunnah Rasul
Ujian
Latih

4.1 Rasulullah Adalah Insan Termulia

Anda mestilah berbangga menjadi umat kepada Nabi Mohammad saw kerana Baginda insan yang paling mulia dalam sejarah kehidupan manusia. Tidak ada insan lain yang dapat menandingi kemuliaan baginda daripada zaman dahulu sehinggalah ke hari akhirat. Disebabkan kehebatan dan kemuliaan bagindalah menyebabkan Allah swt telah melantik baginda menjadi utusannya iaitu Rasulullah di muka bumi ini. Anda tidak boleh mempertikaikan perlantikkan Nabi Mohammad saw sebagai Rasul dengan berkata jika bukan Mohammad dilantik menjadi Rasul, maka ada insan lain yang akan dilantik oleh Allah swt sebagai Rasul. Allah swt adalah Tuhan yang Maha Mengetahui samada yang tersembunyi ataupun yang nyata, samada yang sudah berlaku atau yang sedang berlaku ataupun yang belum belaku. Oleh yang demikian Allah swt sememangnya telah mengetahui sejak azali lagi yang mana tidak akan wujud manusia yang sehebat dan semulia Nabi Mohammad saw bermula daripada zaman Nabi Adam sehinggalah pada bila-bila masapun. Disebabkan kemuliaan tersebutlah maka Allah swt telah memilih Nabi Mohammad saw sebagai utusan terakhir untuk menyelamatkan keseluruhan ummat manusia dan jin daripada jalan kesesatan.

Allah swt juga telah menurunkan al-quran kepada junjungan besar kita Nabi Mohammad saw. Kitab al-quran dan sunnah Bagindalah yang telah ditinggalkan kepada kita yang menjadi panduan untuk meneruskan kehidupan di muka bumi. Segala-galanya telah ada di dalam kedua-dua sumber rujukan ini yang mana Rasulullah saw mengatakan barang siapa yang berpegang dengannya maka mereka tidak akan sesat di dunia dan akhirat. Firman Allah swt yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Qur'an) dan Al-Hikmah (As-Sunah) serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. [2.129]

Apabila anda mengaku bahawa anda adalah pengikut Nabi Mohammad saw, maka anda mestilah menanamkan rasa kecintaan yang tidak berbelah bahagi terhadap Baginda saw. Ini kerana Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: "Tidak sempurna iman kamu, sebelum ia lebih mencintai aku daripada mencintai ibu-bapanya, anaknya dan manusia umumnya". Beriman dengan Rasulullah saw dan risalah yang telah dibawa oleh baginda merupakan satu tiket kepada kita untuk masuk ke dalam syurga Allah swt. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Demi Allah, yang jiwa Mohammad berada di tangannya, setiap orang yang telah mendengar Risalahku, baik ia Yahudi atau Nasrani, kemudian dia mati tanpa iman dengan Risalahku itu maka dia pasti masuk neraka".

Allah swt mengatakan bahawa segala dosa dan kesalahan mereka yang beriman dan beramal dengan ajaran yang diturunkan kepada Nabi Mohammad akan dihapuskan. Allah swt juga akan memperbaiki kehidupan mereka serta menaikkan darjat kehidupan orang-orang yang beriman. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman (kepada Allah) dan mengerjakan amal-amal yang saleh serta beriman (pula) kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah yang hak dari Tuhan mereka, Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka. [47.2]