Monday, June 22, 2009

Selamat Hari Bapa

Walaupun bagi kita, hari meraikan ibu dan bapa tu tak perlu dikhususkan pada hari tertentu sahaja kerana ia perlu disambut pada setiap masa. Sempena sambutan ini saya ingin memesan diri saya dan kepada saudara semua terutamanya kepada para pelajar supaya kita berusaha untuk menjadi ANAK YANG CEMERLANG.

Ibu-bapa merupakan insan yang telah banyak berkorban untuk kita. Selama lebih kurang 9 bulan ibu kita telah mengandungkan kita dan di sepanjang tempoh tersebut pelbagai kesusahan yang mereka hadapi termasuklah mengalami rasa loya, muntah-muntah, lemah badan, kesakitan yang teramat sangat semasa hendak melahirkan kita. Walaupun begitu mereka tetap tabah dan bersabar menghadapinya bahkan kelahiran kita telah disambut dengan penuh kegembiraan. Setelah kita dilahirkan, ibu dan bapa kitalah yang telah membesarkan kita dengan penuh rasa kasih sayang. Kita telah disusukan oleh ibu kita, diberi makan dengan makanan yang berzat, diberi pakaian dan didikan yang sempurna sehingga kita dewasa. Mereka juga tidak putus-putus mendoakan supaya kita berjaya di dalam semua perkara yang kita tempuhi.

Oleh yang demikian adalah tidak wajar jika kita melupakan jasa kedua ibu-bapa kita dengan cara melakukan sesuatu perkara yang tidak disenangi mereka. Allah swt mengarahkan kita supaya sentiasa menghormati kedua ibu-bapa sehinggakan tidak boleh mengeluarkan perkataan ahh apabila bercakap dengan mereka. Kalau perkataan ahh pun tidak boleh digunakan maka apakan lagi untuk menjerkah ataupun memukul mereka. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil". [17.23-24].

Allah swt juga telah berfirman di dalam surah An Nisa' supaya kita sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu-bapa. Firman Allah yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri, [4.36]

Sebagai seorang anak, berikut adalah beberapa perkara yang perlu kita lakukan terhadap kedua ibu-bapa kita dalam rangka untuk menjadi anak yang cemerlang:

Ikut Nasihat
Bercakap Benar
Utamakan Mereka
Berdoa
Adab
Penghormatan
Ampun

AJK baru Taman dan Surau Abdul Rahman Auf, Bangi 3

Salam

Sahabat Taman Bangi 3, Bandar Baru Bangi
Alhamdulillah, pada malam sabtu yang lepas (19/6) surau kita telah berjaya mengadakan mesyuarat agong dengan penuh harmoni. Saya dan AJK yang baru merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kerana telah memberi kepercayaan kepada kami bagi meimpin surau dan taman bagi sesi 2009-2011. Pada mesyuarat kali ini juga, kita telah membuat keputusan penting iaitu menggabungkan Persatuan Penduduk TB3 dengan Surau Abdul Rahman Auf TB3. Ini bermakna, di taman kita hanya wujud satu persatuan sahaja yang buat masa ini kita menggunakan nama Surau Abdul Rahman Auf TB3. Kami juga mengalukan cadangan nama baru yang lebih sesuai untuk taman kita.

Kami AJK yang baru sedar bahawa ini merupakan amanah yang sangat berat untuk dilaksanakan dan memohon kepada Allah swt agar memberi kekuatan kepada kami untuk memberi sumbangan yang terbaik kepada taman dan surau. Kami amat berharap daripada tuan/puan penduduk TB3 agar terus memberi sokongan yang terbaik dalam apa juga bidang bagi memastikan persatuan kita ini akan terus relevan di taman kita khasnya dan di BBB amnya.

Kami juga bersedia untuk menerima segala teguran dan pandangan untuk kebaikan kita bersama. Marilah sama-sama kita mengeratkan ukhuwah sesama kita dan berusaha agar tidak ada seorangpun ahli taman kita yang berasa tersisih atau tersinggung yang menjadi penghalang kepada mereka untuk memberi sumbangan kepada taman.

Insyaallah, Sdr Saiful Anwar yang dilantik sebagai SU baru, akan memberikan senarai lengkap AJK baru yang telah dilantik.

Sekian, wassalam

Nor Mohd Zulkarnain Abdul Yazid
Pengerusi

Thursday, June 4, 2009

Kursus Kepimpinan Pengawas, SMK Taman Desa, Country Homes, Rawang






Syukur kepada Allah kerana pada 29-31 May 2009 yang lepas saya berkesempatan untuk bersama-sama dengan pengawas dari SMK Taman Desa, Rawang dalam program Motivasi Kepimpinan Pengawas. Saya amat berbangga dapat bersama-sama dengan mereka kerana dalam usia yang muda, mereka telah menunjukkan sikap kepimpinan yang sangat baik. Beruntunglah SMKTD kerana memiliki mereka dan saya mendoakan agar barisan pengawas ini akan terus berusaha untuk memperbaiki diri, keluarga, sekolah dan negara.