Saturday, November 21, 2009

Mengapa Aku Kurang Berjaya

Salam
Tahniah diucapkan kepada pelajar yang telah berjaya di dalam peperiksaan UPSR yang lepas. Semoga anda akan terus berusaha sehingga menjadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Kepada yang kurang berjaya, anda mestilah menjadikan keputusan ini sebagai iktibar/pengajaran kepada diri anda sendiri. Anda masih mempunyai masa yang panjang untuk memperbaiki diri, dan sebelum anda terus bersedih dengan keputusan yang diperolehi, saya ingin memberikan beberapa nasihat supaya anda bangkit untuk mencari kunci kejayaan.

Pertamanya tanyalah pada diri anda, "kenapa aku tidak mendapat keputusan yang baik seperti yang diperolehi oleh rakan-rakan aku yang lain". Pada hal aku juga dilahirkan daripada ibu bapa yang berjaya, abang atau kakak aku dulupun pernah mendapat 5A dalam peperiksaan yang sama, jiran akupun mendapat keputusan yang cemerlang bahkan kawan-kawan sekelas dan kawan-kawan sepermainan akupun ramai juga yang mendapat 5A.

Ini bermakna faktor persekitaran adalah amat kecil untuk dijadikan alasan mengapa anda kurang berjaya. Faktor yang paling besar adalah faktor diri anda sendiri. Diri anda sendirilah yang menentukan samada anda boleh berjaya ataupun gagal di dalam peperiksaan yang dihadapi. Anda sendiri sahaja yang tahu sejauh mana anda telah berusaha untuk mencapai kejayaan. Jika anda telah berusaha dengan gigih, tetapi kejayaan masih tidak memihak kepada anda, sudah tentu anda tidak akan tangisi kegagalan itu kerana anda yakin bahawa ianya bukan pilihan anda sebaliknya telah ditetapkan oleh Allah SWT sedemikian rupa.

Tetapi jika sebaliknya, yang mana anda tidak menunujukkan kesungguhan untuk belajar, anda lebih tumpukan kepada permainan berbanding pelajaran, anda banyak membuang masa dan sebagainya maka, adakah wajar anda menantikan keputusan yang cemerlang di dalam peperiksan yang dihadapi? Kata orang tua-tua, kajayaan tak datang bergolek tanpa usaha yang gigih dari diri anda sendiri.

Ayuh, lihat pada diri sendiri dan perbaiki mana-mana kelemahan yang ada. Tanamkan dalam diri anda, bahawa anda juga mampu untuk mencapai kejayaan. Kejayaan bukan sahaja milik ibu bapa anda, atau abang dan kakak anda, atau guru-guru anda, atau kawan-kawan anda, tetapi kejayaan juga adalah milik anda. Tidak ada sesiapapun yang boleh menghalang anda untuk mengecapi kejayaan. Sedarlah bahawa orang yang gagal ialah mereka yang hanya bersedih dan tidak mahu bangkit setelah jatuh, tetapi mereka yang jatuh kemudian bangkit memburu kejayaan, maka mereka inilah orang yang berjaya InsyaAllah.

Sunday, November 1, 2009

Keesaan Allah SWT

Salam
Tanggungjawab utama para rasul semenjak nabi Adam hinggalah kepada junjungan besar kita nabi Muhammad SAW ialah mengajak manusia supaya mengakui akan keesaan Allah swt. Kepercayaan terhadap keesaaan Allah ini membawa erti yang sangat besar yang menyebabkan para nabi dan para rasul ini telah ditentang dengan hebatnya oleh kaum mereka. Masyarakat zaman tersebut faham bahawa apabila mereka menerima konsep keesaan Allah, maka seluruh tindak tanduk mereka selepas ini termasuklah ibadat dan kehidupan seharian mereka mestilah hanya diserahkan kepada Allah SWT semata-mata. Ini bermakna jika dulu mereka boleh menyembah patung-patung di dalam ibadat mereka, maka apabila mereka menerima konsep keesaaan Allah maka mereka terpaksa meninggalkan segala sembahan tersebut.

Bukan itu sahaja, mereka juga yakin jika menerima apa yang diajar oleh para nabi maka seluruh sistem jual beli dan system pemerintahan juga mestilah mengikut sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kalau dulu mereka boleh menindas, menzalimi dan memperlakukan apa sahaja mengikut selera mereka ke atas rakyat dan pengikut mereka, tetapi jika mereka menerima seruan yang dibawa oleh para Nabi dan para Rasul ini, maka kesemua mereka samada pemerintah ataupun rakyat hanya boleh tunduk kepada kebesaran Allah SWT sahaja. Kesemua manusia disisi Allah SWT adalah sama dan yang membezakan mereka adalah ketaqwaannya sahaja

Itulah kefahaman yang ada pada mereka yang menyebabakan mereka sanggup memfitnah dan memerangi para Nabi dan para Rasul supaya ajaran tersebut tidak dapat berkembang dan diterima oleh kaum mereka.

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana kita secara automatik telah dilahir dan dibesarkan daripada keluarga yang telah meyakini akan keesaan Allah SWT. Persoalanan yang perlu kita fikirkan ialah adakah pemahaman kita terhadap konsep keesaan Allah SWT ini sama dengan pemahaman ummat yang terdahulu ataupun sebaliknya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah. Katakanlah: "Apakah kamu memperdebatkan dengan kami tentang Allah, padahal Dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu; bagi kami amalan kami, bagi kamu amalan kamu dan hanya kepada-Nya kami mengikhlaskan hati,” [2.138-139]

Marilah sama-sama kita mengusahakan supaya keyakinan kita kepada Allah SWT bukan sahaja pada bab penciptaan alam ini sahaja, tetapi keyakinan tersebut perlu diperluaskan ke seluruh kehidupan kita. Jika kita telah mengakui serta meyakini bahawa Allah adalah tuhan yang Maha Esa dan Allah yang Esa ini jualah yang telah menciptakan seluruh alam ini maka dengan itu sewajarnyalah kita hanya menyembah Allah di dalam semua keadaan atau aktiviti yang kita lakukan.

Firman Allah swt yang bermaksud “Hai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa. Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui. [2.21-22]

Wassalam

Sunday, August 2, 2009

Setelah lebih 40tahun baru le mengenali Minyak Kelapa Dara/Virgin Coconut Oil (VCO)

Salam
Alhamdulillah, setelah berumur lebih daripada 40tahun, barulah saya mengenali minyak kelapa dara ataupun “virgin coconut oil (VCO)”. Itupun mungkin disebabkan oleh penyakit ekzema yang agak kronik yang menimpa anak kelima saya Anfal. Minyak inilah yang buat masa ni menjadi peneman kepada anak saya bagi mengurangkan kegatalan yang dialaminya.

Sebenarnya pada kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan saudara semua terutamanya kepada mereka yang belum mengenali apa itu minyak kelapa dara. Mungkin ada yang bertanya, tak ada topik lain ke nak dikongsikan dan kenapa topik ni yang perlu diperbesarkan. Sengaja saya nak besarkan topik ni kerana minyak kelapa dara ni berasal daripada pokok kelapa yang bersepah didapati terutamanya di zaman kita tinggal di kampong dulu. Sekarang ni mungkin susah nak jumpa pokok ni di rumah2 kita. Masa kecik2 dulu, tak ada bola yang nak disepak, putik2 kelapa yang kering ni le yang dijadikan mangsa.

Sejak dulu hinggalah sekarang, kita banyak menggunakan santan kelapa dalam masakan kita. Itupun macam2 kempen yang kita dengar supaya masakan tu jangan berlemak sangat kerana ianya membahayakan kepada kesihatan. Selain daripada tu, masa kecik dulu ada le opah saya buat minyak daripada santan untuk dijadikan minyak masak ataupun sebagai minyak rambut. Tapi sekarang ni boleh dikatakan dah jarang sangat kita buat minyak daripada santan kelapa dan lebih senang kita beli minyak kelapa sawit saja untuk dijadikan minyak masak. Buat apa nak susah2 kan. Selain dari itu, santan kelapa ini juga boleh diproses menjadi minyak yang dipanggil minyak kelapa dara/virgin coconut oil (VCO).

Daripada kajian awal yang telah dijalankan (bukan orang kita, tapi mat saleh yang sebelum tu mungkin tak pernah tengok pokok kelapa) mendapati minyak kelapa dara ini mempunyai khasiat yang sangat tinggi terutamanya untuk kesihatan badan kita. Menurut Prof Dr Jan J. Kabara, 1966 minyak kelapa dara ni mengandungi asid laurik yang tinggi yang mana asid laurik ini berperanan sebagai anti virus, anti bacteria, anti parasit dan anti kulat yang berkesan untuk tubuh badan kita. Oleh sebab itu VCO ni boleh membantu melegakan pelbagai penyakit terutamanya yang berpunca daripada mikrob di atas. Pada masa sekarang VCO banyak digunakan di dalam industry kosmetik.

Saya ingin mengingatkan diri saya dan tuan2 bahawa inilah kebesaran Allah swt yang telah diberikan kepada hambanya yang hidup di sebelah Asia. Pokok kelapa ni kalau kita campak di mana2 saja, insyaallah ianya akan tumbuh. Rupa2nya Allah swt telah menciptakannya bersama dengan khasiatnya sekali. Begitu juga di tempat2 lain yang mana Allah swt telah memberikan tanaman2 yang sesuai dengan keadaan mereka sebagai penawar yang membantu menyembuhkan penyakit. Cuma persoalanannya sejauh mana kita sedar/yakin bahawa ianya baik untuk kesihatan kita.

Oleh itu marilah sama2 kita mengkaji serta menggunakan sumber yang ada di sekeliling kita yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada kita yang banyak khasiatnya termasuklah VCO ini. Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik kepada kita bagi memudahkan kita beribadah kepadaNya.

Wallahhuaklam
Zul

Saturday, July 25, 2009

Hilang Kereta

Salam
Awal pagi tadi berlaku satu lagi rompakan di taman kita. Kali ini melibatkan sahabat kita Sdr Saiful, S/U surau. Kereta Toyota Rush beliau telah dilarikan oleh perompak yang tidak berperi kemanusiaan. Selepas solat subuh saya mewakili ahli jemaah yang lain merakamkan rasa simpati yang amat sangat ke atas ujian yang menimpa Sdr Saiful. Apa yang kami boleh kata ialah semoga Sdr Saiful bersabar dengan ujian ini. Allah swt yang maha besar yang telah menentukan ianya berlaku, maka ianya tetap akan berlaku. Kita ni adalah insan yang lemah. Kita tak boleh nak rasa bahawa segala persiapan yang kita lakukan boleh menghindarkan daripada ianya berlaku. Oleh sebab itu rasa kebergantungan yang 100% hanya patut kita serahkan kepada Allah swt semata-mata.
Saya dan Sdr Zahari telah menemani beliau untuk membuat laporan polis di Balai Polis BBB. Sesampai di sana, pegawai polis memberitahu yang sebelum ni ada seorang yang telefon memberitahu bahawa kereta Toyota Rush beliau telah hilang. Maknanya 2 biji Toyota Rush telah hilang pada awal pagi ni. Semoga Allah melindung kita dan taman kita daripada berlakunya perkara yang tidak baik seperti ini. Ameen.

Wassalam
Zul

"Pesta Makan Durian"

Salam
Alhamdulillah, malam tadi Biro Pembangunan Keluarga yang diketuai oleh Abang Zul dan dibantu oleh beberapa orang sahabat termasuklah Sdr Hamdan dan Pak Lah telah berjaya melaksanakan satu program yang dipanggil “Pesta Makan Durian”. Walaupun namanya agak hebat, tapi dalam ucapan aluan, saya menekankan matlamat program ini tidak lain dan tidak bukan ingin menyahut seruan Allah swt yang telah berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya tiada lain hanya sifat orang yang beriman itu adalah bersaudara mara”. Dan Allah juga mengingatkan kita supaya kita sentiasa memperbaiki dan meningkatkan mutu ukhuwah di antara sesama muslim. Oleh yang demikian adalah menjadi tanggungjawab kita mancari jalan untuk meningkatkan ukhuwah sesama kita. Makan durian bersama-sama dengan ahli qariah merupakan salah satu aktiviti yang boleh membantu menuju ke arah yang disebutkan tadi. Walaupun dalam al-quran tak ada le ayat yang menyuruh kita manganjurkan aktiviti makan durian, tetapi asalkan ianya boleh memberi munafaat kepada agama, ianya tidak menjadi halangan. InsyaAllah semoga program seumpama ini boleh dianjurkan lagi pada masa yang akan datang. Terima kasih kepada semua penyumbang dan penduduk yang terlibat.

Wassalam
Zul

Friday, July 10, 2009

Ke mana anak kita pergi?

Salam
Kebetulan dakwat printer kat rumah saya dah habis. Oleh kerana ada dokumen yang nak diserahkan pada hari ni, sayapun pergi ke salah sebuah cyber kafe di seksyen 3 BBB, dekat petronas. Waktu masa tu lebih kurang pukul 10.00pagi. Apa yang menyedihkan ialah, pada waktu tu cyber kafe tu dipenuhi dengan pelajar yang asyik bermain game. Saya yakin budak2 tu adalah pelajar tingkatan 1 dan 2 yang bersekolah di sesi petang. Besar kemungkinan ibu bapa mereka tak tahu aktiviti anak-anak ni. Mana ada ibu bapa yang nak biarkan anak-anak mereka melepak menghabiskan masa dicyber cafe.

Saya tak berhajat nak memanjangkan cerita masalah anak-anak ni yang jika tidak dikawal ianya akan merosakkan generasi kita yang akan datang.

Jika kita lihat sistem pendidikan kita sekarang ni, hanya pelajar sekolah rendah sahaja yang disediakan kelas agama pada setiap hari. Tetapi malangnya tidak banyak ataupun tidak ada institusi yang boleh meneruskan pengajian agama untuk pelajar yang berada di peringkat menengah. Oleh itu berlaku masalah di atas yang mana terdapat ruang kosong pada waktu pagi bagi pelajar ting 1 dan 2 yang belajar di sesi petang. begitu juga pelajar ting 3-5 mempunyai ruang kosong pada waktu petangnya pula. Apa yang mereka nak buat pada waktu tu.


Anak-anak ni akan rasa bebas apabila masuk ke era sek menengah kerana tak perlu pergi ke kelas agama. Persoalanannya, adakah kita boleh monitor anak-anak ni supaya duduk di rumah, buat ulang kaji, mentelaah buku, baca alquran dll. Saya fikir dah tentu sukar. Saya sendiri memang tak mampu nak pastikan perkara tersebut berlaku.

Oleh sebab itu kita sebagai ibu bapa yang perlu membantu anak-anak ni dengan menyediakan aktiviti yang munafaat kepada mereka. Sebenarnya perkara ni baru sahaja dibincangkan pada minggu lepas dalam jk surau Abdul Rahman Auf yang mana Biro Pendidikan akan mengambil tanggungjawab bagi menyediakan penyambungan pendidikan agama yang mereka telah ikuti di sekolah rendah.

Biro Pendidikan akan menganjurkan kelas agama bagi pelajar sekolah menengah bertempat di surau Abdul Rahman Auf Taman Bangi 3. Maklumat lanjut mengenai kelas ini akan dimaklumkan kemudian dan insyaallah ianya akan dimulakan tidak lama lagi. Kepada ibubapa yang berminat boleh buat pendaftaran mulai sekarang. Semoga dengan usaha yang kecil ini akan memberi munafaat kepada kita terutamanya kepada anak-anak kita.

Sekian, Wassalam

Zulkarnain Yazid
Pengerusi Surau Abdul Rahman bin Auf TB3

Monday, June 22, 2009

Selamat Hari Bapa

Walaupun bagi kita, hari meraikan ibu dan bapa tu tak perlu dikhususkan pada hari tertentu sahaja kerana ia perlu disambut pada setiap masa. Sempena sambutan ini saya ingin memesan diri saya dan kepada saudara semua terutamanya kepada para pelajar supaya kita berusaha untuk menjadi ANAK YANG CEMERLANG.

Ibu-bapa merupakan insan yang telah banyak berkorban untuk kita. Selama lebih kurang 9 bulan ibu kita telah mengandungkan kita dan di sepanjang tempoh tersebut pelbagai kesusahan yang mereka hadapi termasuklah mengalami rasa loya, muntah-muntah, lemah badan, kesakitan yang teramat sangat semasa hendak melahirkan kita. Walaupun begitu mereka tetap tabah dan bersabar menghadapinya bahkan kelahiran kita telah disambut dengan penuh kegembiraan. Setelah kita dilahirkan, ibu dan bapa kitalah yang telah membesarkan kita dengan penuh rasa kasih sayang. Kita telah disusukan oleh ibu kita, diberi makan dengan makanan yang berzat, diberi pakaian dan didikan yang sempurna sehingga kita dewasa. Mereka juga tidak putus-putus mendoakan supaya kita berjaya di dalam semua perkara yang kita tempuhi.

Oleh yang demikian adalah tidak wajar jika kita melupakan jasa kedua ibu-bapa kita dengan cara melakukan sesuatu perkara yang tidak disenangi mereka. Allah swt mengarahkan kita supaya sentiasa menghormati kedua ibu-bapa sehinggakan tidak boleh mengeluarkan perkataan ahh apabila bercakap dengan mereka. Kalau perkataan ahh pun tidak boleh digunakan maka apakan lagi untuk menjerkah ataupun memukul mereka. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil". [17.23-24].

Allah swt juga telah berfirman di dalam surah An Nisa' supaya kita sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu-bapa. Firman Allah yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri, [4.36]

Sebagai seorang anak, berikut adalah beberapa perkara yang perlu kita lakukan terhadap kedua ibu-bapa kita dalam rangka untuk menjadi anak yang cemerlang:

Ikut Nasihat
Bercakap Benar
Utamakan Mereka
Berdoa
Adab
Penghormatan
Ampun

AJK baru Taman dan Surau Abdul Rahman Auf, Bangi 3

Salam

Sahabat Taman Bangi 3, Bandar Baru Bangi
Alhamdulillah, pada malam sabtu yang lepas (19/6) surau kita telah berjaya mengadakan mesyuarat agong dengan penuh harmoni. Saya dan AJK yang baru merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kerana telah memberi kepercayaan kepada kami bagi meimpin surau dan taman bagi sesi 2009-2011. Pada mesyuarat kali ini juga, kita telah membuat keputusan penting iaitu menggabungkan Persatuan Penduduk TB3 dengan Surau Abdul Rahman Auf TB3. Ini bermakna, di taman kita hanya wujud satu persatuan sahaja yang buat masa ini kita menggunakan nama Surau Abdul Rahman Auf TB3. Kami juga mengalukan cadangan nama baru yang lebih sesuai untuk taman kita.

Kami AJK yang baru sedar bahawa ini merupakan amanah yang sangat berat untuk dilaksanakan dan memohon kepada Allah swt agar memberi kekuatan kepada kami untuk memberi sumbangan yang terbaik kepada taman dan surau. Kami amat berharap daripada tuan/puan penduduk TB3 agar terus memberi sokongan yang terbaik dalam apa juga bidang bagi memastikan persatuan kita ini akan terus relevan di taman kita khasnya dan di BBB amnya.

Kami juga bersedia untuk menerima segala teguran dan pandangan untuk kebaikan kita bersama. Marilah sama-sama kita mengeratkan ukhuwah sesama kita dan berusaha agar tidak ada seorangpun ahli taman kita yang berasa tersisih atau tersinggung yang menjadi penghalang kepada mereka untuk memberi sumbangan kepada taman.

Insyaallah, Sdr Saiful Anwar yang dilantik sebagai SU baru, akan memberikan senarai lengkap AJK baru yang telah dilantik.

Sekian, wassalam

Nor Mohd Zulkarnain Abdul Yazid
Pengerusi

Thursday, June 4, 2009

Kursus Kepimpinan Pengawas, SMK Taman Desa, Country Homes, Rawang






Syukur kepada Allah kerana pada 29-31 May 2009 yang lepas saya berkesempatan untuk bersama-sama dengan pengawas dari SMK Taman Desa, Rawang dalam program Motivasi Kepimpinan Pengawas. Saya amat berbangga dapat bersama-sama dengan mereka kerana dalam usia yang muda, mereka telah menunjukkan sikap kepimpinan yang sangat baik. Beruntunglah SMKTD kerana memiliki mereka dan saya mendoakan agar barisan pengawas ini akan terus berusaha untuk memperbaiki diri, keluarga, sekolah dan negara.

Wednesday, May 20, 2009

SIRI BUKU MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH

Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt kerana dengan izinnya dapat saya menerbitkan sebuah buku dalam siri Motivasi Pelajar Pintar Soleh yang bertajuk "AKU PENCETUS KECEMERLANGAN".

Ringkasnya buku ini ingin membantu terutamanya golongan pelajar untuk menjawab beberapa persoalanan penting di dalam rangka menjadi pelajar yang cemerlang. Ini termasuklah apakah konsep kecemerlangan yang perlu dikejar, siapakah yang berhak untuk memilikinya, siapa yang memegang kunci untuk membuka pintu kecemerlangan dan apakah syarat yang perlu ada untuk mencapai serta mengekalkan kecemerlangan.

Buku ini juga boleh menjadi bahan bagi membantu ibu bapa, guru-guru ataupun pendidik di dalam memberi motivasi kepada anak-anak dan pelajar masing-masing.

Kepada mereka yang berminat bolehlah menghantar email kepada saya di alamat zulkarnain.yazid@gmail.com.Harga: RM10.00