Thursday, December 13, 2007

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN - Bahagian 6

4.0 CEMERLANG SEBAGAI PENGIKUT NABI MOHAMMAD SAW

Firman Allah swt yang bermaksud: “Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. [33.40]

Anda sebagai pencetus kecemerlangan juga memainkan peranan yang sangat penting di dalam usaha memastikan ummat Nabi Mohammad saw menjadi satu ummat yang cemerlang yang dihormati oleh semua pihak. Jika anda gagal menunjukkan contoh yang baik maka ini sudah pastilah akan memberikan imej yang buruk kepada keseluruhan ummat Nabi Mohammad saw terutamanya di mata penganut agama yang lain. Ini menyebabkan mereka akan menjauhkan diri daripada agama yang diredhai oleh Allah swt. Rasulullah saw ada kalanya tidak perlu mengeluarkan kata-kata sebaliknya hanya dengan tingkah laku Baginda telah dapat menarik masyarakat pada masa tersebut untuk beriman kepada Allah swt. Berikut adalah beberapa kefahaman dan amalan yang perlu ada pada diri anda sebagai tanda cinta kepada Rasulullah saw:

Rasulullah insan termulia
Akhlak
Sunnah Rasul
Ujian
Latih

4.1 Rasulullah Adalah Insan Termulia

Anda mestilah berbangga menjadi umat kepada Nabi Mohammad saw kerana Baginda insan yang paling mulia dalam sejarah kehidupan manusia. Tidak ada insan lain yang dapat menandingi kemuliaan baginda daripada zaman dahulu sehinggalah ke hari akhirat. Disebabkan kehebatan dan kemuliaan bagindalah menyebabkan Allah swt telah melantik baginda menjadi utusannya iaitu Rasulullah di muka bumi ini. Anda tidak boleh mempertikaikan perlantikkan Nabi Mohammad saw sebagai Rasul dengan berkata jika bukan Mohammad dilantik menjadi Rasul, maka ada insan lain yang akan dilantik oleh Allah swt sebagai Rasul. Allah swt adalah Tuhan yang Maha Mengetahui samada yang tersembunyi ataupun yang nyata, samada yang sudah berlaku atau yang sedang berlaku ataupun yang belum belaku. Oleh yang demikian Allah swt sememangnya telah mengetahui sejak azali lagi yang mana tidak akan wujud manusia yang sehebat dan semulia Nabi Mohammad saw bermula daripada zaman Nabi Adam sehinggalah pada bila-bila masapun. Disebabkan kemuliaan tersebutlah maka Allah swt telah memilih Nabi Mohammad saw sebagai utusan terakhir untuk menyelamatkan keseluruhan ummat manusia dan jin daripada jalan kesesatan.

Allah swt juga telah menurunkan al-quran kepada junjungan besar kita Nabi Mohammad saw. Kitab al-quran dan sunnah Bagindalah yang telah ditinggalkan kepada kita yang menjadi panduan untuk meneruskan kehidupan di muka bumi. Segala-galanya telah ada di dalam kedua-dua sumber rujukan ini yang mana Rasulullah saw mengatakan barang siapa yang berpegang dengannya maka mereka tidak akan sesat di dunia dan akhirat. Firman Allah swt yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Qur'an) dan Al-Hikmah (As-Sunah) serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. [2.129]

Apabila anda mengaku bahawa anda adalah pengikut Nabi Mohammad saw, maka anda mestilah menanamkan rasa kecintaan yang tidak berbelah bahagi terhadap Baginda saw. Ini kerana Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: "Tidak sempurna iman kamu, sebelum ia lebih mencintai aku daripada mencintai ibu-bapanya, anaknya dan manusia umumnya". Beriman dengan Rasulullah saw dan risalah yang telah dibawa oleh baginda merupakan satu tiket kepada kita untuk masuk ke dalam syurga Allah swt. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Demi Allah, yang jiwa Mohammad berada di tangannya, setiap orang yang telah mendengar Risalahku, baik ia Yahudi atau Nasrani, kemudian dia mati tanpa iman dengan Risalahku itu maka dia pasti masuk neraka".

Allah swt mengatakan bahawa segala dosa dan kesalahan mereka yang beriman dan beramal dengan ajaran yang diturunkan kepada Nabi Mohammad akan dihapuskan. Allah swt juga akan memperbaiki kehidupan mereka serta menaikkan darjat kehidupan orang-orang yang beriman. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman (kepada Allah) dan mengerjakan amal-amal yang saleh serta beriman (pula) kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah yang hak dari Tuhan mereka, Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka. [47.2]

Wednesday, December 12, 2007

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN - Bahagian 5

3.4 Ancaman dan ganjaran

Ancaman yang dimaksudkan ialah azab yang disediakan oleh Allah swt kepada mereka yang masih lagi membutakan mata mereka daripada melihat kebesaran Allat swt, membisukan mulut mereka daripada menyebut, berzikir dan memuji Allah swt, mamekakkan telinga mereka daripada mendengar ayat-ayat Allah swt, menutup pintu hati mereka daripada cahaya kebenaran, mengunci kaki mereka daripada pergi ke rumah Allah serta mengikat tangan mereka daripada melakukan kerja-kerja kebajikan. Mampukah anda untuk berhadapan dengan azab Allah di akhirat kelak. Azab Allah adalah daripada api yang sangat panas yang mana bahan bakarnya terdiri daripada batu dan manusia itu sendiri. (al-baqarah). Mereka yang dimasukkan ke dalamnya akan kekal buat selama-lamanya di situ.

Alangkan api yang dikeluarkan daripada mancispun kita tidak mampu untuk memegangnya, inikan pula api yang dikatakan jika hanya kita ambil satu juzuk daripadanya kemudian ianya dibasuh dan dibasuh sehingga beribu-ribu kali dan kemudian dicampakkan ke bumi maka akan hancur bumi ini disebabkan terlalu panasnya api daripada neraka itu. Oleh yang demikian perlulah kita merasa takut terhadap ancaman daripada Allah swt bagi mereka yang tidak mahu mengikuti jalan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Mohammad saw.

Allah swt juga telah menjanjikan syurga kepada mereka yang taat kepadaNya. Syurga adalah satu tempat yang sangat indah dan seronok yang tidak ada bandingnya dengan keindahan dan keseronokkan yang terdapat di dunia ini. Allah telah menggambarkan keadaan syurga ini di dalam surah Muhammad yang bermaksud: “(Apakah) perumpamaan (penghuni) surga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tiada berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar (arak) yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Tuhan mereka, sama dengan orang yang kekal dalam neraka dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong-motong ususnya”? [47.15].

3.5 Hisab Diri

Akhir sekali di dalam usaha untuk menjadikan diri anda sebagai hamba Allah yang cemerlang, maka anda mestilah sentiasa menghisab diri ataupun bermuhasabah yakni menilai kembali terhadap segala apa yang telah anda lakukan di sepanjang kehidupan ini. Setiap hari tanyalah pada diri anda sendiri mengenai amalan yang telah dilakukan pada hari tersebut termasuklah solat, berzikir, membaca al-quran, membantu ibu-bapa, mendengar nasihat ibu-bapa, membaca buku, membuat kerja sekolah, mengulangkaji pelajaran dan sebagainya. Perbaikilah di atas segala kelemahan yang ada dan kekalkan atau pertingkatkan segala kebaikan yang telah anda lakukan.

Bayangkan pada suatu masa di dalam kehidupan anda yang mana anda merasakan itulah tahap kebaikan yang paling tinggi yang pernah anda lakukan, maka cuba ulanginya dan kekalkan amalan itu selamanya sehingga anda berjumpa dengan Allah swt yang maha esa. Jika anda tidak berjumpa suatu kebaikanpun dalam diari kehidupan anda, maka bermula daripada sekarang mulakan satu perubahan dengan melakukan sesuatu perkara yang dapat memasukkan anda ke dalam syurga Allah swt di akhirat kelak dan setelah itu beristiqamahlah dengan amalan tersebut. Suatu hari seorang sahabat datang berjumpa Nabi Mohammad saw lalu berkata, ya Rasulullah beri nasihatlah kepadaku. Kemudian Rasulullah berkata berimanlah kepada Allah dan kemudian kamu beristiqamahlah dengannya. Allah swt berfirman yang bermaksud: “Allah berfirman: "Sesungguhnya telah diperkenankan permohonan kamu berdua, sebab itu tetaplah kamu berdua pada jalan yang lurus dan janganlah sekali-kali kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui". [10.89]

Berdoalah kepada Allah swt agar sentiasa memberi kekuatan kepada anda untuk melakukan amalan yang soleh. Mohonkan juga daripadanya agar mengampuni segala kesalahan yang telah dilakukan samada secara disedari ataupun tanpa disedari. Firman Allah yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru kepada iman (yaitu): "Berimanlah kamu kepada Tuhan-mu", maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami, dan wafatkanlah kami beserta orang-orang yang berbakti. [3.193]

Monday, December 10, 2007

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN - Bahagian 4

3.2 Lihat kebesaran Allah

Firman Allah swt yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menjelaskan. Dan Allah memimpin siapa yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus. Dan mereka berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan Rasul, dan kami menaati (keduanya)." Kemudian sebagian dari mereka berpaling sesudah itu, sekali-kali mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman”. [24.46-47]

Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan hubungan, kepercayaan dan keimanan kepada Allah swt. Salah satu cara yang telah diajar oleh Rasulullah saw ialah dengan menggunakan pancaindera yang dianugerahkan oleh Allah swt. bagi melihat, mendengar, menghidu dan merasa kebesaran Allah swt. dan melarang ummatnya daripada memikirkan tentang kejadian Allah swt. Dirawayatkan daripada Ibnu Abbas r.a., sekumpulan sahabat cuba berfikir tentang zat Allah Azzawa Jalla lalu Sabda Rasulullah saw yang bermaksud “Hendaklah kamu berfikir tentang ciptaan Allah. Janganlah kamu berfikir tentang zat Allah kerana kamu tidak akan mampu menjangkau-Nya”. Menurut As-Syahid Hassan Al-Bana tindakan ini bukan sebagai langkah membendung hak berfikir tetapi sebaliknya langkah ini hanya bertujuan memelihara akal supaya tidak terjerumus dalam amalan yang menyesatkan.

Peruntukkanlah masa anda untuk memikirkan mengenai kejadian alam ini serta mengaitkannya dengan keagungan Allah swt. Lihatlah matahari yang menerangi alam ini di waktu siang dan bulan yang menyinari malam. Siapakah yang menjadikannya jika bukan Allah swt yang maha pencipta. Lihatlah gunung-ganang dan banjaran yang menjadi tulang belakang kepada bumi yang mana di sana juga terdapat pelbagai spesis tumbuhan dan haiwan yang hidup yang digunakan oleh manusia sebagai sumber makanan. Siapakah yang menjadikannya jika bukan Allah swt yang maha pencipta. Lihatlah lautan yang terbentang luas yang mana di dalamnya mengandungi pelbagai jenis hidupan seperti ikan, sotong, udang dan ketam yang menjadi sumber rezeki kepada manusia. Lautan juga tempat yang membolehkan kapal yang berat terapung dan belayar membawa barangan dari satu tempat ke tempat yarg lain. Siapakah yang menjadikannya jika bukan Allah swt yang maha pencipta.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan kepunyaan Allah-lah segala yang ada pada malam dan siang hari. Dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [6.13]

Firman Allah yang bermaksud: “Dan banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling daripadanya”. [12.105]

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, dan Kami sedikit pun tidak ditimpa keletihan”. [50.38]

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain asin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi. Dan Dia (pula) yang menciptakan manusia dari air, lalu Dia jadikan manusia itu (punya) keturunan dan mushaharah dan adalah Tuhanmu Maha Kuasa”. [25.53-54]

Firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah kamu melihat bahwa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara (bagian-bagian) nya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya dan Allah (juga) menurunkan (butiran-butiran) es dari langit, (yaitu) dari (gumpalan-gumpalan awan seperti) gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya (butiran-butiran) es itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan dipalingkan-Nya dari siapa yang dikehendaki-Nya. Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan”. [24.43]

Firman Allah yang bermaksud: “Allah mempergantikan malam dan siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu, terdapat pelajaran yang besar bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan”. [24.44]

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan dari air, maka sebagian dari haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya dan sebagian berjalan dengan dua kaki, sedang sebagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”. [24.45]

Lihatlah juga pada kejadian diri anda yang amat sempurna daripada hujung rambut hinggalah ke hujung kaki. Mata yang membolehkan anda untuk melihat keindahan alam ini. Apakah perasaan saudara kita yang buta dikala ini yang hanya merasakan kegelapan. Siapakah yang menjadikannya jika bukan Allah swt yang maha pencipta. Hidung yang membolehkan anda menghidu serta bernafas menyedut oksigen dan menghembuskan karbon dioksida. Apakah perasaan anda dikala diserang demam selsema atau penyakit lelah. Siapakah yang menjadikannya jika bukan Allah swt yang maha pencipta. Bayangkanlah jantung yang berada di dalam badan anda sekarang. Apakah yang sedang dilakukannya? Ya, jantung anda sedang bekerja mengepam darah untuk dihantarkan ke seluruh badan anda. Jika jantung anda berhenti bekerja, dapatkah anda meneruskan kehidupan ini? Siapakah yang menjadikannya jika bukan Allah swt yang maha pencipta. Begitulah kehidupan seorang yang cemerlang yang sentiasa menggunakan pancaindera mereka untuk memikirkan tentang kebesaran Allah swt.

Sememangnya jika hendak disenaraikan bukti kebesaran Allah kepada seluruh hamba adalah terlalu banyak. Kesemuanya merupakan nikmat yang tidak mampu untuk dihitung apatah lagi untuk dibalas. Jika anda mengumpulkan seluruh pokok kayu dan dijadikan sebagai pena dan mengambil seluruh jenis air termasuk air lautan dan sungai yang ada di muka bumi ini dan dijadikan sebagai dakwat bagi mengira nikmat yang Allah anugerahkan, maka sehingga habis seluruh hutan dan air yang ada bagi digunakan untuk tujuan tersebut tetapi masih banyak lagi nikmat Allah yang masih belum dapat dikira. Firman Allah swt yang bermaksud: “Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku. [2.152]


3.3 Lembutkan hati, lidah dan amalan

“Hai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa”. [2.21]

Seseorang yang telah melalui tahap 1 dan 2 di atas sudah pastilah akan merasakan diri mereka sangat kerdil berbanding dengan kehebatan Allah. Tidak kira apa jua kedudukan anda di dunia ini samada anda sebagai seorang raja, atau menteri atan professor atau jutawan atau artis ataupun tukang sapu, kesemuanya tidak dapat menandingi keagungan Allah swt. Oleh yang demikian perlulah anda melembutkan hati, lidah dan seluruh anggota badan anda untuk berzikir mengingati Allah swt tidak kira bila dan di mana anda berada. Di antara zikir-zikir yang telah disusun yang boleh diamalkan termasuklah zikir mathurat dan zikir munajat (lampiran 1). Firman Allah swt yang bermaksud: ”Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. [3.190-191]

Laksanakan segala yang telah diperintahkan oleh Allah swt seperti solat, puasa, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji bagi yang mampu, bersedekah, menuntut ilmu, mengasihi kedua ibu bapa, menghormati orang yang lebih tua, menyayangi orang yang lebih muda, memelihara, kemaluan. Firman Allah swt di dalam surah AL-Mukminun ayat 1-9 yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyuk dalam salatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barang siapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi surga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya”. [23.1-11]

Sebagai pelajar anda juga tidak terlepas daripada tanggungjawab mengamalkan segala perintah Allah swt. walaupun terdapat beberapa amalan yang masih belum diwajibkan kepada anda seperti mengeluarkan zakat dan megerjakan haji. Melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segalan laranganNya menjadi tanda bahawa anda telah bersyukur dengan segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada anda. Firman Allah swt yang bermadsud: “Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah. [2.172].

Salah satu ibadah yang amat penting kepada anda sebagai seorang pelajar adalah solat. Solat adalah merupakan suatu ibadah yang sangat penting dan perlu dipelihara dengan sebaik yang mungkin. Ini disebabkan sembahyang merupakan tiang agama yang mana jika ianya tidak dilaksanakan maka amalan-amalan baik yang lain yang anda lakukan tidak akan dihitung oleh Allah swt sebagai satu ibadah. Oleh yang demikian elakkan daripada dengan sengaja menangguh-nangguh ataupun meninggalkan solat. Solat mesti ditegakkan tidak kira bila, di mana dan apa jua situasi anda. Selagi anda bernyawa dan mempunyai fikiran yang baik yakni tidak gila ataupun mengalami masalah pemikiran maka selagi itulah ianya menjadi suatu kewajipan. Firman Allah swt yang bermaksud: "Peliharalah segala solat dan solat al-wustha. Berdirilah kerana Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk. Jika kamu berada dalam keadaan takut (bahaya), maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan. Kemudian apabila kamu telah berasa aman, maka sebutlah Allah (solat) sepertimana yang telah diajarkan kepada kamu apa yang tidak kamu ketahui". (Al-Baqarah:238-239)

Buangkan istilah qada sembahyang daripada kotak pemikiran anda kerana istilah ini menyebabkan anda mengambil jalan mudah untuk meninggalkan solat. Contohnya jika anda terlalu asyik membuat sesuatu aktiviti dan pada masa yang sama telah masuk waktu solat dan pada waktu itu anda terlalu sayang untuk meningggalkan aktiviti tersebut, maka tergeraklah di dalam hati anda yang berkata "tak mengapalah tak solat lagi, lepas ini boleh qada". Pada masa itu secara tidak disedari anda telahpun melakukan satu dosa kerana meningggalkan solat secara sengaja. Agama Islam tidak pernah menghalang anda untuk aktif dalam sukan malahan ianya adalah digalakkan tetapi janganlah menjadikan aktiviti sukan tersebut sebagai penghalang kepada anda daripada mengingati Allah swt. Begitulah juga dengan aktiviti-aktiviti yang lain seperti menonton televisyen, berhibur, membeli belah, belajar dan berbincang.

Selain daripada menunai dan memilihara solat, Allah swt juga menghendaki supaya kita dapat meningkatkan kualiti solat. Ini terbukti seperti firman Allah dalam surah Al-Mukminun yang mana salah satu syarat untuk menjadi insan cemerlang ialah mesti khusyuk di dalam solat. Firman Allah swt yang bermaksud: "Sesunguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang yang khusyuk di dalam solat mereka". Khusyuk di dalam solat bermaksud anda berusaha untuk meningkatkan kualiti solat. Elakkan daripada melakukan pergerakkan yang tidak dibenarkan semasa solat seperti mengaru-garu dan mengoyang-goyangkan badan. Pemikiran anda semasa solat mestilah hanya ditumpukan kepada Allah swt semata-mata. Lupakan dahulu perkara lain samada mengenai pelajaran, makanan dan sebagainya yang boleh menghalang anda memberi tumpuan kepada solat. Bayangkan Allah sedang melihat semasa anda mengerjakan solat.

Allah swt juga mengarahkan kita supaya sentiasa memelihara solat. Kalau anda ada memelihara kucing ataupuan burung sebagai haiwan peliharaan, tanggungjawab anda ialah memastikan haiwan tersebut sentiasa sihat. Oleh sebab itu anda akan memastikan kesihatan haiwan tersebut dengan menjaga kebersihan dan memberi makan pada masa yang ditetapkan. Jika anda tidak berbuat demikian, haiwan peliharaan tersebut akan jatuh sakit dan lama-kelamaan akan mati. Begitulah juga dengan memelihara solat. Solat adalah makanan batin anda. Oleh sebab itu anda mestilah memastikan ianya dapat dilaksanakan pada masa yang telah ditetapkan. Jika anda tidak laksanakan pada masa tersebut maka pada hakikatnya anda telah tidak memberi makan kepada diri anda sendiri yang menyebabkan diri anda kelaparan. Jika anda terus menerus melambat-lambat atau meninggalkan solat bermakna anda telah tidak memelihara solat. Ini bermakna anda telah tidak memberi makan kepada batin anda yang menyebabkan ianya kelaparan dan lama kelamaan ianya akan jatuh sakit. Batin yang sakit inilah boleh meyebabkan anda mudah melakukan dosa-dosa yang dimurkai oleh Allah swt.

Insan yang mencetus kecemerlangan bukan sahaja melaksanakan perkara yang telah diperintahkan oleh Allah swt tetapi juga turut meningggalkan perkara yang ditegah. Ini termasuklah menjauhkan diri daripada terlibat dengan aktiviti maksiat, menghisap rokok, mengambil dadah, ponteng sekolah, melawan ibu bapa, melawan guru, bercakap bohong dengan ibu bapa dan guru, merosakkan harta awam, menghabiskan terlalu banyak masa dengan melepak di tepi jalan atau bermain "game" , menonton video lucah, melayari internet lucah, berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan (“dating”) dan melakukan jenayah.

Thursday, December 6, 2007

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN - Bahagian 3

Pra-syarat Kecemerlangan Di Dunia dan Akhirat

Untuk menjadikan anda sebagai seorang yang hebat dan cemerlang di dunia dan akhirat, anda perlulah melalui beberapa pra-syarat yang telah ditetapkan. Ini disebabkan kecemerlangan yang anda idamkan mestilah kecemerlangan yang syumul ataupun bersepadu yang tidak hanya menekankan hanya kepada satu-satu aspek kecemerlangan sahaja. Berikut adalah lima aspek penting yang perlu diberi penekanan sebagai pra-syarat kepada kecemerlangan yang hakiki:

• Cemerlang sebagai hamba Allah swt
• Cemerlang sebagai pengikut Nabi Mohammad saw
• Cemerlang sebagai seorang anak
• Cemerlang sebagai ahli masyarakat
• Cemerlang sebagai seorang pelajar


3.0 CEMERLANG SEBAGAI HAMBA ALLAH SWT

Sebagai pencetus kecemerlangan, perkara petama yang perlu anda lakukan ialah mencemerlangkan hubungan anda dengan Allah swt. Yang Maha Esa. Inilah tahap kecemerlangan yang paling tinggi kerana apabila hubungan dengan Allah telah cemerlang, insyaAllah ianya akan diikuti dengan kecemerlangan yang lain.

Bagaimana caranya untuk anda memperbaiki dan meningatkan hubungan dengan Allah swt? Berikut adalah beberapa panduan yang perlu anda tanamkan di dalam diri anda dan laksanakan di dalam kehidupan seharian.

Akui keesaan Allah
Lihat kebesaran Allah
Lembutkan hati, lidah dan amalan
Ancaman dan ganjaran
Hisab Diri

3.1 Akui Keesaan Allah

“Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah. Katakanlah: "Apakah kamu memperdebatkan dengan kami tentang Allah, padahal Dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu; bagi kami amalan kami, bagi kamu amalan kamu dan hanya kepada-Nya kami mengikhlaskan hati,” [2.138-139]


Kecemerlangan yang paling utama ialah apabila seseorang itu dapat mengakui akan keesaan Allah swt. Mengakui keesaan Allah bermaksud bahawa anda hanya mengakui bahawa tiada tuhan melainkan Allah swt. Keyakinan ini mestilah bermula daripada hati yang mana hati anda tidak berbelah bahagi mengatakan bahawa Allah itu adalah Esa. Keyakinan ini diikuti oleh mulut anda yang melafazkan tiada tuhan melainkan Allah. Setelah itu ianya mestilah disusuli pula dengan perlakuan atau tindakan yang mana anda hanya malakukan sesuatu perkara hanya kerana Allah swt. Allah berfirman: "Janganlah kamu menyembah dua tuhan; sesungguhnya Dia-lah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kepada-Ku saja kamu takut".Dan kepunyaan-Nya-lah segala apa yang ada di langit dan di bumi, dan untuk-Nya-lah ketaatan itu selama-lamanya. Maka mengapa kamu bertakwa kepada selain Allah? Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudaratan, maka hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan. [16.51-53]

Allah swt juga berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: "Bahwasanya Allah salah satu dari yang tiga", padahal sekali-kali tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih. Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. [5.73-74]

Keyakinan terhadap keesaan Allah ini juga mencakupi bahawa Allah yang Esa ini jugalah yang telah menjadikan seluruh alam ini. Ini termasuklah daripada yang sekecil-kecil zarah, penciptaan manusia, haiwan, tumbuhan sehinggalah kepada yang sebesar-besarnya seperti gunung-ganang, matahari, bulan, bintang, lautan dan seluruh planet. Allahlah yang memberi dan menyembuhkan sakit, menghidup dan mematikan sesuatu. Allahlah yang menurunkan hujan, menjadikan panas serta menjadikan pelbagai malapetaka seperti banjir, ombak besar, gempa bumi, kemarau, angin kencang dan sebagainya. Firman Allah swt yang bermaksud “Katakanlah: "Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala tanda dan bukti(yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), Tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan Rasul-Rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman".[10.101]

Jika anda telah mengakui serta meyakini bahawa Allah adalah tuhan yang Maha Esa dan Allah yang Esa ini jualah yang telah menciptakan seluruh alam ini maka dengan itu sewajarnyalah anda hanya menyembah Allah di dalam semua keadaan atau aktiviti yang anda lakukan. Ini termasuklah samada semasa melakukan ibadah khusus ataupun ibadah umum. Ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat, dan mengerjakan haji manakala ibadah umum termasuklah belajar, bermain, berbincang, menonton, bersiar-siar dan sebagainya.

Kesemua aktiviti yang dilakukkan ini mestilah hanya kerana Allah swt semata-mata. Firman Allah swt yang bermaksud “Hai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa. Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui. [2.21-22]

Monday, December 3, 2007

Aku Pencetus Kecemerlangan: Konsep Kecemerlangan - Bahagian 2

2.0 KONSEP KECEMERLANGAN

Konsep kecemerlangan menerangkan mengenai bentuk kecemerlangan yang hendak anda capai. Kejelasan mengenai konsep kecemerlangan dapat mengelakkan anda daripada mentafsirkan kecemerlangan daripada perspektif yang tidak tepat dengan keperluan seorang insan. Bahagian ini mendedahkan kepada anda mengenai konsep kecemerlangan bersepadu yang perlu anda fahami yang menitikberatkan seluruh potensi yang ada pada seseorang insan. Ianya termasuklah kecemerlangan mental, fizikal dan spiritual. Pada asasnya kecemerlangan ataupun kejayaan boleh dibahagikan kepada 4 jenis iaitu:

• Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat
• Berjaya di dunia tetapi gagal di akhirat
• Gagal di dunia tetapi berjaya di akhirat
• Gagal di dunia dan gagal di akhirat

2.1 Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat

Sebagaimana yang telah diperbincangkan, anda sahaja yang boleh menentukan jenis kecemerlangan yang ingin anda capai. Allah swt telah memberikan akal fikiran kepada anda dan kepada semua insan yang bertujuan untuk membolehkan anda membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Para nabi dan Rasul turut diutuskan oleh Allah swt bagi mengajar dan membantu manusia memilih jenis kejayaan yang perlu diusahakan.

Sudah pastilah semua para Rasul dan Nabi-Nabi termasuklah junjungan besar yang terakhir iaitu Nabi Muhammad saw diutuskan bertujuan untuk membimbing kita supaya berjaya kehidupan di dunia dan berjaya kehidupan di akhirat. Di dunia anda menjadi pelajar yang hebat yang seterusnya dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara, menjadi seorang anak yang soleh dan solehah serta sebagai hamba Allah anda mengabdikan diri dan beribadah hanya kepada Allah yang maha Esa dengan melaksanakan segala yang diperintah dan meninggalkan segala larangan.

Inilah konsep kecemerlangan yang mesti anda usahakan. Inilah yang dikatakan sebagai kecemerlangan yang hakiki ataupun kecemerlangan yang sebenar-benarnya. Ianya bersesuaian dengan seruan azan yang mana setiap kali ianya berkumandang maka setiap kali jugalah seruan kepada kecemerlangan ini akan dilaungkan."Haiya alall falah" maksudnya marilah menuju kepada kejayaan. Al-falah yang diseru adalah merupakan kejayaan yang hakiki yakni kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Di dunia anda menjadi manusia yang hebat dan di akhirat juga anda mendapat syurga daripada Allah swt, insyaAllah.

Allah swt di dalam surah Al Mukminun ayat 1-11 telah menyenaraikan tujuh sifat yang perlu dilakukan oleh orang yang beriman bagi memastikan mereka mencapai kejayaan yang hakiki iaitu (i) khusyuk dalam salatnya (ii) menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna (iii) menunaikan zakat (iv) menjaga kemaluannya (v) memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) (vi) menunaikan janjinya, dan (vii) memelihara sembahyangnya. Di akhir ayat ini Allah mengatakan mereka yang melakukan kesemua perkara di atas adalah golongan yang mencapai kecemerlangan dan mereka akan mewarisi syurga Firdaus di akhirat nanti serta mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

2.2 Berjaya di dunia tetapi gagal di akhirat

Tidak ada gunanya kalau anda hanya berjaya di dunia sahaja tetapi gagal kehidupan di akhirat. Anda mendapat kejayaan di dalam semua peperiksaan yang dihadapi. Anda menjawat jawatan yang diidam-idamkan. Anda memiliki kereta dan rumah yang besar, juga memiliki harta yang banyak. Anda disanjung dan dimuliakan oleh manusia disebabkan kehebatan anda. Tetapi pada masa yang sama anda melupai tanggung jawab anda sebagai khalifah Allah di muka bumi. Anda tidak menghiraukan firman Allah yang bermaksud "Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan hanya beribadah kepada Ku". Anda leka dengan kemewahan. Anda melakukan perkara yang dilarang dan meninggalkan segala perintah Allah swt. Perbuatan seperti inilah menyebabkan seseorang itu nampak hebat di dunia tetapi pada hakikatnya mereka dihina oleh Allah swt dan akan mendapat seksaan neraka di akhirat kelak. Nauzubillah hi min za lik. Firman Allah swt di dalam surah Muhammad yang bermadsud: “Yang demikian itu adalah karena sesungguhnya mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah dan (karena) mereka membenci (apa yang menimbulkan) keridaan-Nya; sebab itu Allah menghapus (pahala) amal-amal mereka. [47.28]

Sedarlah bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara sahaja manakala kehidupan di akhiratlah yang akan kekal abadi. Setiap amalan yang anda lakukan di dunia ini akan dihitung dan diberi balasan di akhirat kelak. Amalan yang baik akan dibalas dengan syurga manakala amalan yang buruk akan dibalas dengan neraka. Firman Allah swt yang bermaksud: Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya pula. [99.6]

2.3 Gagal di dunia tetapi berjaya di akhirat

Anda juga tidak boleh hanya menumpukan kepada urusan akhirat semata-mata dan pada masa yang sama melupakan kehidupan di dunia. Jika ini berlaku, siapakah yang akan menjadi doktor yang akan mengubati pesakit, siapakah yang akan menjadi jurutera yang memikirkan bagaimana untuk membina bangunan dan segala peralatan. Siapa pula yang akan menjadi peguam dan hakim yang akan mendakwa atau membela seseorang yang seterusnya menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada pesalah. Siapa yang akan menjadi guru atau ustaz yang dapat mengajar anda menjadi manusia berilmu. Begitu juga siapa yang akan menjadi juruterbang untuk membolehkan anda pergi dari satu tempat ke satu tempat yang jauh dalam masa yang singkat. Siapakah yang akan menjadi ahli politik untuk memimpin sesebuah negara menjadi aman dan makmur dan begitulah juga dengan bidang-bidang yang lain.

Oleh yang demikian adalah tidak wajar jika anda hanya duduk di tikar sembahyang sahaja tanpa menghiraukan urusan dunia. Rasulullah tidak menyukai orang yang sedemikian kerana kebaikan yang mereka perolehi hanya boleh digunakan untuk mereka sendiri sahaja dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Berbanding dengan orang yang beribadah dan pada masa yang sama mereka bertebaran di muka bumi memberi sumbangan dan menyebarkan ilmu yang mereka perolehi, mereka ini lebih disukai oleh Allah swt kerana kebaikan yang mereka lakukan bukan sahaja memberi munafaat kepada diri mereka sendiri sahaja tetapi turut dirasai oleh manusia lain. Firman Allah swt di dalam surah al-Jumu’ah yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Apabila telah ditunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung. [62.9-10]

2.4 Gagal di dunia dan gagal di akhirat

Konsep yang terakhir ialah golongan yang paling malang yang mana mereka gagal kahidupan di dunia dan gagal kehidupan di akhirat. Di dunia mereka hidup melarat, dihina dan pada masa yang sama mereka ini tidak mentaati Allah swt dengan melakukan perkara yang dilarang dan meninggalkan segala perintah Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud: “… barang siapa berbuat dosa dan ia telah diliputi oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”. [2.81]

Allah swt telah menganugerahkan akal fikiran kepada anda, bagi memilih jenis kecemerlangan yang anda hendak capai. Sebagai manusia yang normal, sudah tentulah anda inginkan kejayaan yang bersepadu yang meliputi kejayaan di dunia yang sementara dan juga mengecapi kejayaan yang abadi di akhirat nanti. Setiap bayi yang dilahirkan adalah ibarat sehelai kain putih yang bersih dan jauh daripada segala dosa dan noda. Jika Allah menghendaki bayi ini mati pada masa tersebut maka sudah pastilah ianya akan terus ke syurga. Itulah diri anda yang asal dan kemudiannya anda jugalah yang berperanan mencorak dan mewarnakan diri anda samada ingin terus kekal menjadi seperti sehelai kain putih ataupun mewarnainya menjadi sehelai kain yang lebih cantik yang boleh dijadikan hiasan ataupun anda tidak menghiraukan kain putih ini dan terus menconteng dan menconteng sehingga menyebabkan kain tersebut menjadi hodoh dan hanya layak untuk dijadikan kain buruk dan akhirnya dibuang ataupun hanya menjadi bahan bakar.