Thursday, December 13, 2007

MOTIVASI PELAJAR PINTAR SOLEH: AKU PENCETUS KECEMERLANGAN - Bahagian 6

4.0 CEMERLANG SEBAGAI PENGIKUT NABI MOHAMMAD SAW

Firman Allah swt yang bermaksud: “Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. [33.40]

Anda sebagai pencetus kecemerlangan juga memainkan peranan yang sangat penting di dalam usaha memastikan ummat Nabi Mohammad saw menjadi satu ummat yang cemerlang yang dihormati oleh semua pihak. Jika anda gagal menunjukkan contoh yang baik maka ini sudah pastilah akan memberikan imej yang buruk kepada keseluruhan ummat Nabi Mohammad saw terutamanya di mata penganut agama yang lain. Ini menyebabkan mereka akan menjauhkan diri daripada agama yang diredhai oleh Allah swt. Rasulullah saw ada kalanya tidak perlu mengeluarkan kata-kata sebaliknya hanya dengan tingkah laku Baginda telah dapat menarik masyarakat pada masa tersebut untuk beriman kepada Allah swt. Berikut adalah beberapa kefahaman dan amalan yang perlu ada pada diri anda sebagai tanda cinta kepada Rasulullah saw:

Rasulullah insan termulia
Akhlak
Sunnah Rasul
Ujian
Latih

4.1 Rasulullah Adalah Insan Termulia

Anda mestilah berbangga menjadi umat kepada Nabi Mohammad saw kerana Baginda insan yang paling mulia dalam sejarah kehidupan manusia. Tidak ada insan lain yang dapat menandingi kemuliaan baginda daripada zaman dahulu sehinggalah ke hari akhirat. Disebabkan kehebatan dan kemuliaan bagindalah menyebabkan Allah swt telah melantik baginda menjadi utusannya iaitu Rasulullah di muka bumi ini. Anda tidak boleh mempertikaikan perlantikkan Nabi Mohammad saw sebagai Rasul dengan berkata jika bukan Mohammad dilantik menjadi Rasul, maka ada insan lain yang akan dilantik oleh Allah swt sebagai Rasul. Allah swt adalah Tuhan yang Maha Mengetahui samada yang tersembunyi ataupun yang nyata, samada yang sudah berlaku atau yang sedang berlaku ataupun yang belum belaku. Oleh yang demikian Allah swt sememangnya telah mengetahui sejak azali lagi yang mana tidak akan wujud manusia yang sehebat dan semulia Nabi Mohammad saw bermula daripada zaman Nabi Adam sehinggalah pada bila-bila masapun. Disebabkan kemuliaan tersebutlah maka Allah swt telah memilih Nabi Mohammad saw sebagai utusan terakhir untuk menyelamatkan keseluruhan ummat manusia dan jin daripada jalan kesesatan.

Allah swt juga telah menurunkan al-quran kepada junjungan besar kita Nabi Mohammad saw. Kitab al-quran dan sunnah Bagindalah yang telah ditinggalkan kepada kita yang menjadi panduan untuk meneruskan kehidupan di muka bumi. Segala-galanya telah ada di dalam kedua-dua sumber rujukan ini yang mana Rasulullah saw mengatakan barang siapa yang berpegang dengannya maka mereka tidak akan sesat di dunia dan akhirat. Firman Allah swt yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Qur'an) dan Al-Hikmah (As-Sunah) serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. [2.129]

Apabila anda mengaku bahawa anda adalah pengikut Nabi Mohammad saw, maka anda mestilah menanamkan rasa kecintaan yang tidak berbelah bahagi terhadap Baginda saw. Ini kerana Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: "Tidak sempurna iman kamu, sebelum ia lebih mencintai aku daripada mencintai ibu-bapanya, anaknya dan manusia umumnya". Beriman dengan Rasulullah saw dan risalah yang telah dibawa oleh baginda merupakan satu tiket kepada kita untuk masuk ke dalam syurga Allah swt. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Demi Allah, yang jiwa Mohammad berada di tangannya, setiap orang yang telah mendengar Risalahku, baik ia Yahudi atau Nasrani, kemudian dia mati tanpa iman dengan Risalahku itu maka dia pasti masuk neraka".

Allah swt mengatakan bahawa segala dosa dan kesalahan mereka yang beriman dan beramal dengan ajaran yang diturunkan kepada Nabi Mohammad akan dihapuskan. Allah swt juga akan memperbaiki kehidupan mereka serta menaikkan darjat kehidupan orang-orang yang beriman. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman (kepada Allah) dan mengerjakan amal-amal yang saleh serta beriman (pula) kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah yang hak dari Tuhan mereka, Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka. [47.2]

No comments: